USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA KHIDMAT PAKAR MELALUI PROGRAM 'BEYOND HOSPITAL BOUNDARIES'

KUBANG KERIAN,  4 Februari 2016 – Jika di negara-negara maju, bertemu kaunselor atau ahli psikologi adalah satu kebiasaan atau lumrah tatkala berhadapan dengan masalah psikososial, tetapi berbeza dengan di negara kita yang melohatnya dengan pandangan sinis  malah menjadi  'tabu' yang kurang menyenangkan.

Namun akhir-akhir ini dengan semakin banyak paparan di dada media tentang remaja yang bertindak lari dari rumah apabila cinta terhalang atau cuba membunuh diri apabila dilanda masalah emosi atau mengalami kegagalan termasuk dalam peperiksaan, hal ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin dengan bantuan para pakar.

Menurut pakar Psikiatri Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norzila Zakaria, kehadiran seseorang pakar psikiatri ke sekolah selalunya menjadi tanda tanya kepada guru-guru, suatu yang sangat jarang berlaku malah dalam kebanyakan negeri di Malaysia, besar kemungkinannya tidak pernah ada seorang pakar psikiatri datang ke sekolah kecuali jika ada kes yang benar-benar memerlukannya berbuat demikian.

Namun, inilah yang menjadi rutin mingguan pakar-pakar  psikiatri di Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja Hospital USM pada setiap hari Rabu melalui program yang dikenali sebagai ‘Beyond Hospital Boundaries’ sebagai kaedah menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar. "Kalau sebut kaunseling, tanggapan biasa orang yang datang ialah mereka yang bermasalah dan ada juga yang menganggapnya sebagai tidak pandai menyelesaikan masalah sendiri sehingga perlu berjumpa pihak ketiga," jelas Norzila.

Jelasnya, berjumpa pegawai kaunseling atau psikologis bukan hanya apabila mempunyai masalah tetapi untuk berbincang dan mendapatkan penerangan serta bimbingan untuk meningkatkan kemahiran dalam mengendalikan cabaran.

Katanya lagi, kaunselor juga boleh membantu meningkatkan kemahiran seseorang seperti pelajar yang mudah terpengaruh melakukan sesuatu perkara yang tidak diingini agar dapat membuat keputusan yang sesuai untuk kesejahteraan diri atau keluarga.

Antara masalah psikososial ialah berkaitan dengan penyesuaian, perkembangan, emosi, tingkahlaku, masalah kekeluargaan, mendisiplinkan anak, keibubapaan, kerjaya dan sebagainya.

Menurut Norzila, terdapat ramai kaunselor sekolah menghubungi pihaknya bagi membantu menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar yang berkaitan aspek perubatan dan tingkahlaku.

"Kehadiran pihak kami bukannya untuk menidakkan fungsi kaunselor sedia ada tetapi adalah satu usahasama yang memberikan impak positif kepada pelajar," tambahnya.

Norzila menasihatkan  pelajar yang mempunyai masalah untuk berbincang dengan guru dan kaunselor di sekolah melalui sesi kaunseling dan berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatri untuk pandangan pakar dan rawatan lanjut.

"Carilah kawan yang benar-benar dapat mendengar masalah dan memberi sokongan, melibatkan diri  dengan aktiviti seperti ko-kurikulum atau  kem jati diri untuk meningkatkan sahsiah dan motivasi diri," kata Norzila.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 1122

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024