USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GABUNGAN MATEMATIK, EKONOMI DAN EKOLOGI PERKASA KONSERVASI

PULAU PINANG, 4 Februari 2016 - Gabungan kepakaran dalam bidang matematik, ekonomi dan ekologi dapat mengoptimumkan pencapaian dan kejayaan proses konservasi khazanah biodiversiti di sesebuah negara.

Profesor dalam bidang Matematik dan Ekologi dari The University of Queensland, Australia, Profesor Hugh Possingham berkata, gabungan ilmu dalam bidang tersebut membolehkan proses konservasi dilakukan dengan efisien dan memberi manfaat besar kepada pembangunan ekonomi setempat.

Katanya, ilmu matematik membolehkan kita melihat kesesuaian proses pembangunan di sesuatu tempat termasuk menentukan bahagian manakah yang penting untuk dijadikan taman negara, hutan simpanan mahupun kawasan yang boleh dibangunkan.

“Kaedah yang merangkumi tiga cabang ilmu ini memberi kesan yang lebih efektif dalam kita mengekalkan biodiversiti negara dan dalam masa yang sama turut berupaya mengeluarkan sumber makanan yang dapat menjana pulangan ekonomi.

“Dengan kata lain proses konservasi adalah satu inisiatif yang bersifat multidisplin. Ia mencerminkan satu proses pemeliharaan biodiversiti yang efisien dengan mengambilkira aspek kompromi yang memenangkan kesemua pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual bersempena siri syarahannya yang bertajuk ‘Formulating And Solving Biodiversity And Ecosystem Services Conservation Problems Within Economic And Food Production Constraints’ di sini hari ini.

Tambahnya, Malaysia mempunyai khazanah biodiversiti yang mengagumkan yang perlu dipelihara dengan baik, bahkan perlu menjadi contoh kepada negara-negara jiran dalam hal-hal pemeliharaanya.
 
Hugh juga berkata, konservasi di era lalu hanya dilihat dalam konteks menyimpan sesuatu kawasan dari diteroka namun kini keadaan sudah jauh berubah dan ia perlu dilhat dalam konteks yang lebih luas.

“Menyimpan atau merizabkan sesuatu kawasan ada kalanya akan menutup potensi dan peluang pihak lain dan sebagai contoh menutup peluang perikanan, perhutanan, tanaman kepala sawit dan sebagainya.

“Di sinilah kepakaran dalam pelbagai disiplin diperlukan bagi mengoptimumkan pembangunan sesuatu kawasan yang memberi manfaat kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” ujarnya.

Katanya lagi, Malaysia perlu ada inisiatif-inisiatif yang khusus bagi mengekalkan kekayaan sumber alamnya, termasuk memelihara spesis-spesis binatang yang semakin pupus di dunia serta mewujudkan taman negara di setiap negeri.

“Pemeliharaan biodiversiti bukan sekadar memelihara khazanah malah membuka daya tarikan pelancong dan memperkaya sumber perikanan negara,’’ katanya.

USM banyak terlibat dalam usaha pemuliharaan dan pengekalan khazanah warisan negara termasuk di Hutan Paya Bakau Merbuk, Kedah, Tasik Temenggor, Perak, pemeliharaan Orang Utan di Sarawak, kajian obor-obor di Taman Negara Pulau Pinang dan sebagainya.

Justeru, seminar yang akan memperincikan pengalaman dan daya intelektual akademia ini memberi manfaat kepada para penyelidik USM untuk mencapai aspirasi negara dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti yang menjadi kemegahan negara.

Akademia ini  tersohor di mata dunia malah makmal beliau, The Possingham Lab telah membangunkan perisian perancangan konservasi, Marxan (www.ecology.uq.edu.au/marxan.htm) yang dirujuk oleh oleh banyak negara, dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Brazil sehinggalah ke Madagascar.

Beliau juga telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan WWF Malaysia menggunakan perisiannya bagi membangunkan Sabah Park, iaitu taman marin terbesar di Malaysia yang dijangka siap tidak lama lagi.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 896

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024