USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SENAMAN BANTU PESAKIT STROK

IMG 20160205 WA0005

KUBANG KERIAN, 4 Februari 2016 – Terdapat lebih daripada 40,000 pesakit angin ahmar atau strok di seluruh negara dari pelbagai peringkat usia dan penyakit itu merupakan punca ketiga yang menyebabkan kematian dan ketidakupayaan.

Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang terlantar atau lemah anggota badan akibat penyakit strok disaran mengamalkan modul senaman 'BAL Ex STROKE', hasil inovasi sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Pensyarah Kanan, Unit Keseimbangan Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zuraida Zainun berkata, modul senaman keseimbangan yang berasaskan gabungan tiga kaedah iaitu pergerakan solat, teknik 'Bobath' dan 'Customized Cawthorne-Cooksey' itu berupaya memberi perubahan positif kepada pesakit dalam masa kurang daripada tiga bulan.

“Penghasilan modul yang mengandungi 56 pergerakan berbeza mengikut tahap itu telah didokumentasikan dalam bentuk buku panduan dan video cakera padat (VCD) dan keberkesanan modul senaman ini telah mendapat beberapa pengiktirafan, antaranya Pingat Emas pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) pada tahun 2012,” ujarnya.

IMG 20160205 WA0006

Tambah Zuraida, fokus utama dalam “BAL Ex STROKE’ ialah bagi merangsang otak pesakit untuk pulih, mengadaptasi masalah kelemahan anggota badan dan meningkatkan motivasi diri bahawa mereka bukan bebanan kekal kepada orang lain.

“Melalui buku panduan dan VCD yang dikeluarkan, pesakit dan penjaga mereka dapat mempelajari kaedah 'BAL Ex STROKE' kerana ia mengandungi teknik rawatan melibatkan arahan audio dan fizikal teratur yang dapat membantu penjaga dan pesakit melakukan latihan sendiri di rumah,” jelasnya lagi.

Zuraida berkata, keberkesanan modul itu bukan sahaja memberi perubahan dari sudut fizikal, contohnya pesakit yang tidak dapat bergerak langsung kepada berupaya memberus gigi sendiri, malah kesan paling utama adalah dari sudut psikologi apabila pesakit menjadi lebih bermotivasi untuk memulihkan diri mereka.

“Selain itu, modul ini juga memudahkan pesakit angin ahmar, perawat dan ahli keluarga mempelajari langkah-langkah rehabilitasi dan terapi secara teratur kerana fokus utama dalam sesi latihan itu adalah bagi merangsang otak pesakit untuk pulih sepenuhnya dan berupaya mengadaptasi kepada masalah kelemahan anggota badan mereka,” kata Zuraida.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Hafiz Ya’acob

  • Created on .
  • Hits: 2093

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024