SEKRETARIAT KEARIFAN TEMPATAN BAWA PERSEMBAHAN ‘MAIN TERI’ KE USM
PULAU PINANG, 3 Februari 2016 – Sekretariat Kearifan Tempatan Universiti Sains Malaysia (USM) buat pertama kalinya membawa persembahan ‘Main Teri’ yang merupakan salah satu perubatan tradisi yang amat popular dan diamalkan oleh masyarakat Melayu Kelantan sejak beberapa abad yang lampau malam tadi.
Persembahan ‘Main Teri’ dimulakan dengan upacara ‘baca kenduri’ yang sebutan bacaannya bercampur antara jampi dan mantera, Tok Teri selaku ketua kepada kumpulan Main Teri akan tampil di depan para pemuzik dan pesakit yang akan diubati.
Tok Teri, Pak Mat Jedok atau nama asalnya Che Mohd. Zailani Che Moh dibawa khas daripada Tanah Merah, Kelantan telah berpengalaman hampir 28 tahun mengubati orang sakit melalui amalan pengubatan ini.
Semasa proses perubatan dengan bacaan jampi dan mantera, bertih iaitu padi yang dibakar atau goreng, dan beras kunyit akan ditaburkan kepada sekeliling tempat persembahan.
Selepas habisnya upacara ‘baca kenduri’, Tok Teri akan memainkan peranan dalam upacara menurun di mana pesakit akan diseru dan dibangkitkan angin dari dalam dirinya dan angin sakit itu akan dipindahkan ke dalam diri Tok Teri yang bertindak sebagai pengantara.
Tok Teri akan menjadi lupa melalui proses 'menurun' yang dilakukan dengan iringan muzik oleh awak-awak atau disebut juga sebagai panjak. Gelengan kepala Tok Teri akan semakin rancak mengikut rentak muzik yang dimainkan oleh para panjak.
Dalam Main Teri, alat muzik yang digunakan seperti rebab, serunai, tetawak, gendang, geduk, canang dan juga kesi. Alat-alat muzik ini akan berada di hadapan Tok Teri yang berdepan dengan Tok Minduk.
Tok Teri akan bersoal jawab dengan Tok Minduk. Melalui soal jawab antara Tok Teri dengan Tok Minduk inilah rahsia penyakit yang dideritai oleh pesakit akan diketahui.
Menurut Pak Mat Jedok, semasa proses perubatan ini, Tok Teri akan berubah-rubah perwatakannya, seperti menjadi orang bercakap sengau, menjadi bengis dan garang, menjadi budak terencat akal, menjadi orang tua nyanyuk dan pelbagai watak lain untuk menceritakan keadaan jiwa pesakit yang diubatinya.
Tok Teri juga akan meminta pemuzik yang mengiring memainkan pelbagai lagu mengikut jiwa pesakit. Elemen muzik dan unsur nyanyian ini menuntut keupayaan Tok Teri bagi mengalunkan pelbagai lagu dan rentak.
Lagu-lagu itu seperti lagu dalam mainan wayang kulit, kemudian beralih kepada lagu dalam makyung sekiranya pesakit ada kaitan penyakitnya dengan angin Dewa Muda.
Kata Pak Mat Jedok lagi, pada masa dulu dikatakan lebih 50 buah lagu dalam Main Teri, namun hari ini, tidak sampai 10 buah lagu 'gerak teri' yang masih dimainkan. Antara lagu-lagu yang selalu dinyanyikan adalah Kijang Mas, Lagu Mengulit, Lagu Menora, Lagu Cik Kojo dan Lagu Abe.
Jelasnya lagi, walaupun Main Teri satu kaedah perubatan tradisional, tetapi yang menariknya di dalam persembahan perubatan Main Teri terdapat unsur-unsur teater moden yang menggabungkan lakonan, nyanyian, tarian, mimos dan muzik.
“Sebab itu juga Main Teri dianggap asas kepada segala bentuk persembahan tradisi Kelantan seperti makyung, wayang kulit, dikir barat, bageh dan beberapa bentuk permainan tradisi yang lain,” tambahnya.
Bagaimanapun menurut Pak Mat Jedok, di Kota Bharu sendiri amat sukar untuk mencari seorang Tok Teri yang masih meneruskan tradisi tersebut. Kumpulan Main Teri yang masih bertahan tidak lebih daripada tiga kumpulan iaitu di Pasir Puteh, Tumpat dan Tanah Merah iaitu kumpulannya sendiri.
“Saya harap tradisi ini tidak akan pupus begitu sahaja memandangkan tidak ramai anak muda yang minat untuk mempelajari ilmu ini selain pengharaman upacara ini yang dianggap bertentangan dengan akidah umat Islam,” katanya lagi yang kini melatih 12 orang anak muda yang bakal mewarisi peranan sebagai Tok Teri.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1473