USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI USM: LENDIR HARUAN SEMBUH LUKA DENGAN PANTAS

 DSC4864

PULAU PINANG, 3 Feb. 2016 – Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) tampil dengan inovasi unik, krim sapuan ekstrak dari lendir ikan haruan yang berupaya mempercepat proses penyembuhan luka pada permukaan kulit.

Bukan sekadar pantas menyembuh, produk yang dikenali sebagai MU-DERM itu turut bertindak sebagai anti bakteria, anti inflamatori (kurangkan kesan bengkak) dan sangat sesuai digunakan pada bayi dan kanak-kanak serta yang berkulit sensitif.

Ketua Penyelidik MU-DERM yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Madya Dr. Amin Malik Shah Abdul Majid berkata, krim berkenaan difomulasikan berasaskan mekanisme angiogenesis.

“Angiogenesis adalah satu proses pembentukan salur darah baru. Dalam konteks MU-DERM, kita mencari bahan aktif yang paling sesuai yang dapat meningkatkan penghasilan salur darah baru.

 DSC4817

“Justeru, lendir pada ikan haruan mempunyai protein-protein khusus yang menggalakkan angiogenesis dan ia membolehkan proses penyembuhan luka berlaku dengan lebih pantas berbanding produk sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas memperincikan produk penyelidikan MU-DERM yang dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Media & Perhubungan Awam USM, Mohamad Abdullah di sini hari ini.

Penyelidikan tersebut dijalankan dengan kerjasama pembantu penyelidik, Saad Sabbar Dahham, Dr. Aman Shah Abdul Majid, Profesor Dr. Gam Lay Harn, Yasser M. Tabana dan Dr. Khadeer M A Basheer.

Tambah beliau, untuk memastikan kualiti penghasilan produk tersebut, pihaknya menjalankan proses ekstrak piawai bagi memastikan protein-protein yang diperlukan hadir dalam setiap sukatan.

Katanya, mukus yang diekstrak dari ikan haruan dicampurkan dengan beberapa bahan semulajadi yang lain termasuk minyak kelapa dara dan lilin lebah bagi mengoptimumkan kesan penyembuhan.

“Formulasi krim sapuan ini amat sesuai digunakan terhadap sebarang jenis luka terbuka pada kulit kerana ia tidak mengandungi bahan pengawet, pewarna, pewangi dan sebagainya.

 DSC4909

“Paling penting, ia berupaya mempercepatkan proses penyembuhan 50 peratus lebih pantas berbanding produk sedia ada, selain membantu meningkatkan mata pencarian golongan usahawan tani,” katanya.

Produk yang dibangunakan dengan geran berjumlah RM100,000 itu turut diiktiraf di persada kebangsaan dan memperoleh pingat emas dalam pertandingan PECIPTA 2015 di Kuala Lumpur penghujung tahun lalu.

MU-DERM yang dihasilkan melalui kajian lebih tiga tahun disifatkan memberi impak kepada penjanaan ekonomi serta melonjak penyelidikan makmal ke pasaran farmaseutikal, selain turut mendapat perhatian daripada sebuah syarikat untuk dikomersialkan.

 

Teks Marziana Mohamed Alias

Foto: Mohd. Azrul Mohd. Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1842

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024