USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEARIFAN TEMPATAN: AMALAN PENGUBATAN TRADISIONAL PERLU DIPELIHARA

 DSC4733785

PULAU PINANG, 2 Februari 2016 – Amalan pengubatan secara tradisional mengikut kaedah tradisional dahulu perlulah dipandang serius supaya ilmu kearifan tempatan ini tidak dipinggirkan dalam usaha membangunkan kesarjanaan ilmu.

Wakil Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey berkata, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah dan adat tradisional perlu dijalankan secara serius bagi menjamin khazanah ini tidak ditelan oleh arus permodenan masa kini.

Tambahnya lagi, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebuah universiti yang berpaksikan kepada kelestarian amat menggalakkan usaha memelihara kearifan tempatan dalam pelbagai bidang ilmu.

“Seminar ini bertujuan untuk berkongsi ilmu berkaitan amalan pengubatan secara tradisional di mana ilmu yang diamalkan secara turun temurun ini akan pupus jika tiada usaha untuk memelihara ilmu tersebut,” jelasnyanya ketika merasmikan Seminar Pemeliharaan Kearifan Tempatan dalam Amalan Pengubatan di sini hari ini.

Katanya, seminar yang diadakan pada hari ini diharap dapat dimanfaatkan oleh semua kerana ahli panel yang dijemput merupakan mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang amalan pengubatan tradisional ini.

IMG 4406

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Kearifan Tempatan, Profesor Dr. Badaruddin Mohamed berkata kearifan tempatan adalah sekumpulan maklumat, petunjuk, nasihat atau serangkai ilmu untuk strategi kehidupan serta menjadi alat untuk kelangsungan dan kedinamikan sesuatu bangsa.

Jelasnya, sumbernya pula termasuk yang berbentuk lisan yang disampaikan melalui mulut dan dipanjangkan kepada satu generasi ke generasi lain ataupun dari sumber tulisan sama ada yang rasmi atau tidak.

“Seminar yang kita adakan hari ini dijalankan secara bersiri melibatkan beberapa buah universiti yang juga merupakan kumpulan kearifan tempatan dengan pelbagai tajuk berbeza yang diharap mampu memberi maklumat yang berguna kepada masyarakat tentang ilmu kearifan tempatan,” katanya.

 DSC477189

Tambah Badaruddin, kerjasama daripada pihak industri khususnya Petronas dalam memperkasakan budaya dan adat lama ini amatlah dihargai dan patut menjadi contoh kepada pihak lain supaya lebih ramai lagi pihak yang tampil untuk berkoloberasi.

“Pada malam ini, akan diadakan persembahan ‘Main Teri’ iaitu satu upacara amalan pengubatan tradisional yang mendapat tajaan daripada Petronas dalam memastikan tradisi ini tidak pupus ditelan zaman,” jelasnya lagi.

Seminar anjuran Sekretarian Kearifan Tempatan ini turut dihadiri lebih 100 orang peserta dari pelbagai universiti tempatan antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan lain-lain.

 DSC47668

Yang hadir sama ialah Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Madya Mohamad Omar Bin Bidin, dan Penyelaras Kumpulan Kearifan Tempatan, Dr. Norizan Esa.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz / Foto: Zamani Abd. Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1460

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024