USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANFAATKAN TEKNOLOGI UNTUK PEMELIHARAAN WARISAN TEMPATAN

IMG 438376

PULAU PINANG, 2 Februari 2016 – Memanfaatkan teknologi yang ada adalah satu-satunya cara untuk memelihara warisan tempatan termasuk perubatan tradisional dan kearifan lain yang ada dalam masyarakat.

Pengarah Kreatif Kevokanvas Sdn. Bhd, Mohd Nizam Mohd. Radzi berkata, sebenarnya kita tidak ada pilihan lain selain daripada memanfaatkan teknologi untuk memelihara kearifan yang ada kerana pengikutnya yang besar dan boleh dimanfaatkan dengan sewajarnya.
 
“Dengan bertambahnya bilangan memahami lanskap yang memperlihatkan kedahagaan kepada maklumat yang telah berevolusi dengan tingkahlaku dan pelbagai perkembangan lain di seluruh dunia, maka ini adalah satu-satunya cara untuk kita memastikan apa yang ada pada masa lalu dan masa kini dapat difahami dan dipelihara untuk generasi yang akan datang,” katanya yang pernah bertugas sebuah syarikat GLC sebagai Pengarah media digital.

Mohd. Nizam memberitahu dengan perkembangan dunia digital sekarang ini misalnya, dari 30.51 juta rakyat Malaysia, 20.14 juta orang adalah pengguna aktif internet, manakala 17 juta adalah pengguna aktif media sosial berdasarkan data yang ada pada tahun lalu dengan purata penggunaan internet melalui telefon mudah alih melebih 1 unit seorang penduduk.

Katanya lagi, yang penting ialah bagaimana untuk menghasilkan kandungan media yang kreatif untuk menarik orang melihatnya atau melayarinya kerana berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak tertentu menunjukkan bahawa anak-anak muda akan hanya melayari sesuatu kandungan media dalam hanya 3.2 saat sebelum membuat keputusan untuk terus melayarinya atau mencari media lain untuk dirujuk atau dilayari.

“Dengan memahami tingkahlaku pengguna seperti ini akan membantu kita untuk melihat dan menentukan bagaimana dapat memanfaatkan teknologi dengan sebaik-baiknya secara efektif untuk memelihara nilai-nilai budaya tempatan yang telah nampak jelas sekarang ini seperti mana dilakukan di negara-negara maju,” kata Mohd. Nizam.

Beliau memberi pandangan semasa forum Pemeliharaan Pengubatan Tradisional Melalui Teknologi dalam Seminar Kearifan Tempatan dalam Amalan Perubatan yang dianjurkan oleh Sekretariat Kearifan Tempatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Yang turut menjadi panel dalam sesi ini ialah pensyarah Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Asyiek Mohd Desa dan pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Dr. Norzaini Zainal dengan moderatornya Profesor Madya Dr. Mustafa Kamal Mokhtar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Asyiek dan Norzaini menyentuh bagaimana teknologi penggunaan teknologi holografi dapat digunakan dalam memelihara khazanah tempatan yang dapat menarik minat orang ramai untuk terus memahami dan menghargainya seperti mana kini dilaksanakan Sekretariat Kearifan Tempatan USM.

Teks: Mohamad bin Abdullah / Foto: Zamani Abd. Rahim

  • Created on .
  • Hits: 2059

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024