USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘MAIN TERI’ MASIH DIAMALKAN, TOK TERI AKUI SIBUK UBATI PESAKIT

IMG 43635

PULAU PINANG, 2 Feb 2016 – Perantara atau lebih dikenali sebagai Tok Teri dalam warisan pengubatan ‘Main Teri’ mengakui permintaan terhadap khidmatnya untuk mengubati pesakit yang memerlukan alternatif kepada rawatan moden amat tinggi.

“Main Teri’ adalah kaedah pengubatan tradisi yang diamalkan oleh generasi sejak beberapa abad yang lalu dan amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sehingga kini.

Che Mohd. Zailani Che Moh, 50, Tok Teri yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkata, boleh dikatakan hampir setiap hari rumahnya didatangi masyarakat yang memerlukan kaedah alternatif bagi membantu ahli keluarga atau kenalan mereka yang menderita sakit.

“Kebiasaannya yang datang adalah dalam kalangan mereka yang sudah habis ikhtiar dalam mendapatkan rawatan moden. Ada juga yang merasakan sakit yang dialami adalah misteri dan tiada ubat untuk memulihkannya.

“Saya akan terlebih dahulu melakukan ‘imbasan’ bagi memastikan jenis sakit yang dialami oleh pesakit dan kebiasaannya ia disebabkan oleh ‘angin’ atau keadaan emosi yang mengalami tekanan yang berlebihan,” katanya.

IMG 44206

Beliau berkata demikian ketika menyertai sidang pleno bertajuk Amalan Pengubatan Tradisional melalui Persembahan bersempena Seminar Pemeliharaan Kearifan Tempatan dalam Amalan Pengubatan anjuran Sekretarian Kearifan Tempatan di sini hari ini.

Forum yang dipengerusikan oleh akademia dari Universiti Teknologi MARA, Profesor Solehah Ishak itu turut membariskan panel-panel seperti pengamal perubatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Muhamad Hafiz Hanafi,  Ahli Akademik USM, Dr. A.S. Hardy Shafii dan Timbalan Pengarah (Produksi) Istana Budaya, Rosnan Abdul Rahman.

Che Mohd. Zailani atau lebih mesra dipanggil Pak Mat Jedok juga berkata, beliau telah terlibat dengan persembahan Main Teri lebih dari 28 tahun dan sehingga kini telah melatih kira-kira 12 pelapis yang akan mewarisi seni pengubatan tradisi itu.

Katanya, kaedah ini berkesan kerana kepercayaannya yang menganggap setiap dari manusia mempunyai ‘angin’ atau semangat sejak mula dilahirkan dan jika semangat itu hilang, kaedah yang terbaik adalah dengan membangkitkannya semula melalui Main Teri.

“Setiap yang mengalami tekanan emosi akan berputus asa untuk menjadi seperti dirinya ketika sihat dan tugas Pak Mat untuk mengembalikan dan membangkitkan semangat itu bagi mengembalikan pesakit ke keadaan asal dengan izinNya.

“Ia boleh diibaratkan seperti tiub tayar basikal, jika tiub itu kosong sudah tentu ia tidak berupaya untuk membawa bebanan namun jika diisi dengan angin yang penuh ia mampu membawa muatan sehingga mencecah 100 kilogram,’’ katanya.

Dalam pada itu, Rosnan pula berpendapat, seni Main Teri perlu dipelihara supaya ia kekal dan diketahui oleh generasi masa hadapan.

“Kita tidak mahu satu hari nanti ia hanya boleh dilihat di Youtube atau dalam rakaman video semata-mata namun apabila dicari pemainnya sudah tidak wujud. Ia adalah satu warisan budaya yang mencerminkan pelbagai elemen termasuk sastera dan kesenian,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 3099

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024