ROSNAN - DARI SENI BINA KE SENI PERSEMBAHAN
PULAU PINANG, 2 Februari 2016 - Mungkin ramai yang tidak sedar yang anak seni kelahiran Universiti Sains Malaysia (USM) Rosnan Abdul Rahman adalah satu-satunya pakyong lelaki dalam persembahan teater tradisional Makyung di Malaysia pada masa ini.
Berkelulusan dalam bidang Seni Bina dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Rosnan tidak menyesal meninggalkan bidang tersebut sebaliknya terus terjun ke dalam bidang seni di Pusat Pengajian Seni (PPS).
“Semasa di USM, saya perlu melalui PPS untuk ke HBP dan juga saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang belajar dalam bidang seni yang menimbulkan minat untuk mencuba bidang seni terutamanya seni persembahan,” kata Rosnan ketika ditemui selepas sidang pleno Seminar Pemeliharaan Kearifan Tempatan dalam Amalan Pengubatan di USM hari ini.
“Orang penting yang membawa saya ke dalam bidang ini adalah pensyarah PPS iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Ghouse Nasuruddin dan beliau terus mengajar saya,” tambah Rosnan yang kini menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Produksi) di Istana Budaya (IB).
Minat yang mendalam dalam bidang seni persembahan menyebabkannya melupakan terus cita-cita untuk menjadi seorang arkitek walaupun pernah menjadi pensyarah Seni Bina di Kolej Negeri, Negeri Sembilan.
“Saya menjadi pensyarah seni bina hanya selama setahun dan selepas itu saya ditawarkan jawatan Penolong Pengarah Produksi di IB dan tanpa berfikir panjang terus menerima tawaran tersebut.
“Semasa di IB, saya banyak terdedah dengan pengurusan produksi dan persembahan serta pernah mengadakan persembahan dalam Makyung Anak Raja Dua Serupa (2010), Makyung Raja Besar Senyanya (2009), Teater Patung Kertas (2009 dan 2008), Monodrama Rebab Berbisik (2007, 2008, 2010 dan 2011) arahan Rahimidin Zahari, Makyung Endeng Tajeli (2007) dan Makyung Dewa Indera Indera Dewa (2006),” katanya yang juga pernah membintangi filem kontroversi ‘… dalam botol’ bersama alumni USM iaitu Arja Lee.
Rosnan, 44, percaya berbekalkan pengalaman dan bakat serta sokongan semua pihak beliau boleh maju walaupun kurang menerima pengiktirafan sebagai pakyong.
Namun Rosnan tidak menolak bahawa bidang hiburan ini perlu ada juga glamor atau pengiktirafan supaya tidak ketinggalan.
“Kejayaan paling besar dalam bidang persembahan ini adalah apabila dinobatkan sebagai Best Actor in A Leading Role (Theatre) semasa Malam Anugerah 9th BOH Cameronian Arts Awards 2012,” tambah Rosnan yang pernah mengadakan persembahan Makyung sempena “Malaysia Week Festival” di New York, Amerika Syarikat (2007) dan Persembahan Makyung di Ibupejabat UNESCO di Paris, Perancis (2008).
Teks: Nor Rafizah Haji Md Zain
- Created on .
- Hits: 1871