USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DARI BATU KAPUR KE PENAPIS AIR: MANFAAT PENDUDUK ORANG ASLI LANGKOR

SUNGAI SIPUT, 31 JANUARI 2016 – Tidak diduga bermula dari kajian berkenaan batu kapur oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar tahun 2011 berjaya menghasilkan penapis sumber air berkos rendah yang telah memanfaatkan hampir 200 penduduk orang asli Kampung Langkor, Sungai Siput, Perak.

Pelaburan penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Nordin Adlan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, USM, berjumlah RM160,000 ini berjaya meningkatkan mutu kehidupan penduduk orang asli di kawasan tersebut.

Projek yang dinamakan ‘Bekalan air untuk masyarakat kurang mampu’ telah berjaya mengatasi masalah bekalan air bersih bagi penduduk tersebut sejak tahun 2014 yang turut dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak.

Mohd Nordin, Pensyarah dan Penyelidik dalam bidang kejuruteraan alam sekitar itu berkata, Sejak dua tahun pemasangan dan digunakan oleh penduduk di sini, dapat dilihat peningkatan mutu kehidupan mereka yang lebih mengutamakan kebersihan dalam kehidupan harian mereka.

“Kita memberikan teknologi yang mudah dan berpatutan untuk golongan terkebawah kerana ia mudah diselenggara dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi daripada melaksanakan projek penyelidikan jutaan ringgit dan akhirnya tidak dapat disalurkan kepada golongan seperti ini”

Katanya lagi, projek yang dijalankan ini adalah menerusi Bahagian Jaringan dan Industri Masyarakat USM, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak (JAKOA), projek bekalan air bersih bagi penduduk orang Asli berkenaan dimulakan pada 2011 dan siap setahun kemudian.

Tambah beliau lagi, mengapa batu kapur menjadi pilihan, beliau mengatakan batu kapur tidak pernah dijadikan bahan kajian terutama aspek penapisan dan penurasan dan dari situ timbul keinginan beliau untuk membuat penyelidikan.

Menurutnya lagi, selepas beberapa tempoh kajian dilakukan, didapati batu kapur dapat mengurangkan kekeruhan air dan kuman sehingga 95 peratus.

Ditanya mengenai perancangan di masa mendatang, Nordin mengakui telah berbincang dengan Pemangku Pengarah JAKOA untuk diteruskan projek ini ke perkampungan orang asli yang lain.

“Pihak saya telah berbincang dan beliau meminta senarai bahan yang diperlukan untuk kegunaan projek tapisan air tersebut untuk diteruskan di kampung orang Asli Pelantok, Perak.”

Sehubungan itu, dengan projek akan datang beliau mengharapkan kerjasama yang kukuh di antara rakan kerja penyelidik dan semua pihak bagi menjayakan projek ini.

Program Pemerkasaan Komuniti Penduduk Kampung Langkor ini turut diserikan dengan kehadiran Orang Besar Jajahan Kerian, YDH Toh Muda Orang Kaya-Kaya Laksamana Raja Mahkota, Dato' Haji Meor Redwan Mahayuddin yang turut merasmikan majlis tersebut dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Dato' Ir. Mohd Yusof Bin Mohd Isa.

Pada majlis yang sama, Pengarah Kampus Kejuruteraan merangkap Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kejayaan dalam memperkasakan program komuniti sebegini menunjukkan USM bukan ‘bercakap kosong’ malah telah melaksanakan dengan jayanya pemerkasaan komuniti melalui hasil penyelidikan USM.

“Kita telah bawakan hasil penyelidikan ke kampung ini, dan di harap penduduk dapat membantu dari segi penyelenggaraan yang telah diajar kerana USM tidak sepenuh masa memantau produk ini selepas telah siap digunakan”

Beliau turut gembira dengan mutu kehidupan penduduk orang asli di sini yang menampakkan peningkatan terutamanya membabitkan kebersihan harian.

“Dapat dilihat di sini selepas projek ini dijalankan, tandas-tandas telah dibina hampir setiap isirumah, ini menunjukkan penduduk telah sedar mengenai kebersihan menggunakan air bersih yang ditapis”

Tambahnya, jika program ini berjaya sepenuhnya, USM akan berusaha membawa hasil penyelidikan yang lain ke sini untuk kebaikan orang asli seluruhnya.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
 
  • Created on .
  • Hits: 1596

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024