KEMALANGAN ACHEH, PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN
PULAU PINANG, 13 Mac 2015 - Kemalangan di Acheh merupakan satu tragedi yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidup namun redha dengan apa yang berlaku sebagai takdir namun tetap berasa amat sedih dengan kematian salah seorang pelajar.
Demikian luahan perasaan pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim yang baharu kembali ke tanah air bersama-sama 23 pelajar dan pensyarah yang mengikuti program akademik di Acheh.
Mohd Hazizan mengalami luka ringan di lengan kiri serta kecederaan kecil di muka turut menceritakan detik-detik cemas beliau bersama mangsa-mangsa lain semasa kejadian tersebut berlaku."Semasa kemalangan, saya duduk di kerusi hadapan dan tercampak keluar dari cermin hadapan bas bersama pemandu dan jatuh ke bawah tebing yang berketinggian 12 kaki, manakala rombongan lain semua berada di dalam bas," katanya kepada TVUSM.
Beliau terpaksa naik memanjat tebing untuk meminta pertolongan mengangkat pemandu bas yang terlantar di bawah tebing bersama-samanya.
Mohd Hazizan turut menzahirkan rasa dukacita kerana kehilangan seorang pelajar, Muhamad Izzamir Nabihan A. Majid, 23 tahun.
"Kami bersyukur kerana Allahyarham Izzamir sempat melafazkan kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir," katanya lagi.
Pengarah Projek, Rasyifah Rushda Abdul Mutalib pula menyifatkan kemalangan tersebut merupakan satu kenangan pahit sepanjang hidup dan masih trauma dengan kejadian tersebut.
"Ini merupakan kenangan hitam yang tidak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila malah sehingga hari ini, sewaktu menaiki bas untuk ke Lapangan Terbang Banda Acheh, saya dan rakan-rakan lain masih merasainya dan berharap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi.
Namun, kami bersyukur kerana masyarakat di Geumpang sangat baik dan memberikan bantuan semasa kemalangan tersebut berlaku," katanya lagi.
Seramai 23 orang rombongan pelajar dan staf yang terlibat dalam kemalangan di Acheh tersebut selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang petang tadi.
Pemeriksaan saringan kesihatan dan kaunseling pasca-trauma dilakukan terhadap semua yang terlibat. Pasukan pasca-trauma yang terdiri daripada pakar kaunseling, ahli psikologi dan kaunselor USM yang antaranya ialah Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) yang juga pakar psikologi Profesor Dato' Dr. See Ching Mey juga hadir membuat penilaian dan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada kesemua mereka.
Tiga kes dirujuk untuk rawatan yang selanjutnya masing-masing di Hospital Besar Pulau Pinang, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam USM, dan hospital swasta atas permintaan sendiri. Beberapa pelajar juga dihantar ke IPPT untuk pemeriksaan lanjut manakala seorang pelajar dan ibunya dibawa ke Pusat Sejahtera Induk untuk menenangkan ibunya yang pengsan sejurus selepas rombongan keluar dari lapangan terbang.
Kemalangan tersebut berlaku semasa ahli rombongan dalam perjalanan pulang dari lawatan ke lombong arang batu (pertambangan batu bara) di Geumpang PD Acheh.
http://usmtv.usm.my/index.php/component/contushdvideoshare/player/2015/tragedi-acheh-rawatan-trauma
Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2492