USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENGOPTIMUM SUMBER KEJURUTERAAN JAYAKAN TRANSFORMASI USM

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1331

NIBONG TEBAL, 28 Januari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada termasuk dalam pelbagai bidang kejuruteraan sebagai sebahagian usaha mentransformasi universiti menjayakan APEX 2020.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, ini termasuklah meningkatkan usaha penjanaan kewangan yang lebih lestari dalam menjayakan perancangan yang ada.

Bercakap kepada warga Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dalam lawatan sehari ke Kampus Kejuruteraan beliau berkata, terdapat pelbagai sumber yang boleh dijana dari Kampus Kejuruteraan untuk menambah pendapatan kepada universiti.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1113

“Apatah lagi, kita mempunyai banyak kepakaran, produk penyelidikan dan kemudahan yang belum dioptimumkan penggunaannya,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, lawatan Naib Canselor tersebut memberi makna yang besar khususnya kepada warga kampus.

“Melalui sesi hari ini, padanan sinergistik antara idea dari kampus kejuruteraan dan pandangan pengurusan tertinggi universiti dapat disatukan. Kita lebih bersedia untuk mencadang dan melaksanakan strategi meningkatkan kecemerlangan universiti walaupun terdapat kekangan dan cabaran yang besar bermula tahun 2016 ini,” kata Ahmad Farhan.

Beliau dalam rangka lawatan 100 hari pertama ke semua Pusat Tanggungjawab di Kampus Kejuruteraan untuk mengenal pasti isu kritikal dan mengenali lebih dekat peranan dan tanggungjawab setiap jabatan seterusnya akan menyusun strategi supaya ianya selari dengan misi dan visi universiti.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1376

Naib Canselor turut melawat beberapa makmal yang berupaya menjana kewangan kepada universiti termasuk Makmal Underwater, Control & Robotic Group (URRG) di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, dan Makmal Penyelidikan Graphene oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Turut mendapat perhatian Naib Canselor adalah Makmal Biotenaga di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik yang diketuai oleh Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin yang mendapat perhatian media baru-baru ini dengan hasil penyelidikannya Kitchen Waste Carbonizer (KWC) atau pengkarbon sisa buangan dapur dengan memberi penyelesaian dalam melupuskan sisa domestik dengan efisien.

Naib Canselor juga melawat makmal yang telah melahirkan penyelidik yang banyak menyumbang kepada pengiktirafan universiti iaitu Profesor Dr. Bassim H. Hameed di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang juga diiktiraf sebagai The World’s Most Influential Scientific Minds 2015 baru-baru ini serta singgah di beberapa buah makmal di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang telah berjaya menghasilkan dapatan tertinggi melalui kerja ujian makmal dengan pihak luar.

DSC131067

Yang turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Pendaftar USM Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Dr. Musa Ali, Pengarah Pengurusan Canselori Hj. Mohd Saad Hj. Din dan Ketua Pegawai Pembangunan Arman Abdul Razak.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Faisal Mohamad

  • Created on .
  • Hits: 944

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024