USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK PERLU TEROKA PENYELIDIKAN 2050 – KPPT

 DSC42178

PULAU PINANG, 28 JANUARI 2016 – Penyelidik-penyelidik tempatan khususnya di universiti penyelidikan disaran untuk meningkatkan keupayaan dan meneroka peluang penyelidikan yang dapat memberi manfaat untuk masa hadapan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail berkata, para penyelidik diharap dapat melihat senario yang jauh ke hadapan, misalnya ke tahun 2050 bagi membolehkan mereka bersaing dalam gelombang ombak biru.

Katanya, penyelidik juga perlu merencanakan elemen ‘WOW’ dalam menjalankan kajian dan tidak lagi melakukan penyelidikan biasa yang hanya akan menyebabkan tahap perkembangan prestasi yang perlahan serta kajian yang ketinggalan dari negara-negara maju.

 DSC42029

“Jika kita melihat senario 2050 kita sudah boleh melihat bagaimana percetakan tiga dimensi (3D) misalnya mencetuskan gajet-gajet terkini dalam perubatan, bangunan masa hadapan atau mungkin dengannya juga kita boleh menghasilkan jantung bionik tanpa perlu bergantung kepada penderma.

“Perkara ini mungkin bukan mudah tapi kita harus berupaya melakukannya. Kukuhkan kolaborasi rentas bidang dan melangkaui batas negara. Hanya dengan rangkaian kerjasama yang kukuh memberi keupayaan untuk penyelidikan kita dipacu ke peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena merasmikan 2nd International Biohealth Science Conference (IBSC) 2016 yang menghimpunkan pakar-pakar perubatan, akademia dan sebagainya di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Dr. Norehan Mokhtar dan Pengerusi IBSC, Profesor Dr. Narazah Mohd. Yusoff.

 DSC42208

Topik yang dibincangkan dalam IBSC memperlihatkan kekuatan IPPT dalam bidang penyelidikan kanser dan sehingga kini institut berkenaan sedang giat memperkukuhkan kolaborasi untuk memperkasa penyelidikan kanser ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Tambah beliau lagi, dalam konteks penyelidikan berkaitan kaedah pencegahan dan rawatan kanser juga, akademia dan pakar bidang perubatan perlu mempunyai hala tuju yang jelas untuk membolehkan bidang ini memberi penyelesaian kepada permasalahan masa hadapan.

Tambahnya, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi amat berharap untuk melihat penyelidik di negara ini dapat berkolaborasi secara lebih dinamik untuk menjayakan kluster penyelidikan seperti yang sepatutnya.

“Jalankan strategi penyelidikan berasaskan masa hadapan yang dapat memacu agenda penyelidikan negara ke tahap tertinggi dengan melihat nic-nic yang boleh memperkukuhkan peranan negara di mata dunia,” katanya.

 DSC42546

Dalam pada itu, persidangan anjuran IPPT USM itu antara lain menjadi platform untuk berkongsi perkembangan terkini berkaitan dengan kaedah rawatan dan pencegahan kanser bersama para penyelidik tempatan dan antarabangsa, pengusaha industri dan agensi-agensi kerajaan.

Ia turut bertujuan menyediakan persekitaran yang sesuai bagi para delegasi memanfaatkan pengetahuan, menggalakkan pendidikan dan membina kesedaran tentang kanser. Persidangan dua hari yang berakhir hari ini dihadiri oleh 150 orang peserta dari dalam dan luar negara termasuk 24 orang penceramah jemputan yang berkongsi pengalaman dan bertukar idea dalam bidang penyelidikan kanser.

Antara negara yang terlibat ialah Korea Selatan, United Kingdom, China, Myanmar, Indonesia, Thailand, Arab Saudi, Pakistan dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1004

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024