BIMBINGAN PERNIAGAAN FOKUS UTAMA JANA PENDAPATAN UNIVERSITI
PULAU PINANG, 27 Januari 2015 – Bimbingan Perniagaan (Bisnes Coaching) menjadi antara fokus utama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melatih pentadbir dan pensyarah muda mencari pendekatan positif untuk penjanaan pendapatan universiti.
Penjanaan pendapatan melalui sumbar-sumber yang ada dapat dilaksanakan jika bimbingan tersebut dapat diserapkan kepada tenaga akademik mahupun pentadbiran mengikut kaedah yang sesuai.
Bercakap di Majlis Sejambak Budi Penyampaian Watikah dan Pelantikan Dekan dan Ketua Jabatan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, kemahiran perniagaan seharusnya perlu dikuasai oleh pensyarah muda agar mereka bukan sahaja mahir dalam bidang pengajian, malah mampu menjana pendapatan melalui kepakaran tersebut.
“USM akan berusaha melaksanakan program-program penjanaan pendapatan bagi setiap peringkat bagi mengasah bakat yang terpilih untuk meneruskan hasrat universiti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan,” katanya.
Turut hadir dan menyampaikan watikah adalah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan; Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly; Pendaftar USM, Profesor Dr. Abd. Aziz Tajuddin; Pengarah Sumber Manusia USM, Dr. Hj. Musa Ali dan pegawai-pegawai utama universiti.
Selain itu Omar turut berharap barisan mantan ketua jabatan dapat membantu serta berkongsi pengalaman dengan ketua-ketua jabatan yang baru dilantik agar dapat meneruskan lonjakan prestasi untuk PTJ tersebut.
“USM mahu melatih ‘orang muda’ mengetuai PTJ bagi membina pengalaman baru dan mampu berinteraksi lebih ke hadapan bersama idea-idea baru membangunkan universiti ini.
“Proses ini ini amat penting kerana kita mahu kepimpinan USM berada pada kesinambungan yang kukuh termasuklah menggunakan kemahiran sepenuhnya di samping membina kekuatan kerja sepasukan di antara generasi lama dan baru,” katanya.
Tambahnya, diharapkan proses kepimpinan dapat diteruskan di pelbagai peringkat sebagai institusi yang dapat melonjak prestasi keseluruhannya seperti apa yang direncanakan.
Antara yang menerima penghargaan adalah mantan Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid dan mantan Ketua Pustakawan Hj. Pisol Ghadzali, mantan Timbalan Pendaftar, Hj. Anuar Ibrahim dan juga mantan-mantan Dekan Pusat Pengajian.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1242