USM, MPSP BEKERJASAMA DENGAN JEPUN BAIKPULIH PASAR
PULAU PINANG, 27 Januari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan tiga lagi pihak dari Jepun iaitu Japan International Cooperation Agency (JICA), Yokohama City University (YCU) dan City of Yokohama (CY) serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menjalankan projek membaikpulih pasar lama di Bukit Mertajam Pulau Pinang.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman, beliau sangat kagum dengan perancangan bandar dan kehidupan moden di Jepun terutamanya di Yokohama dan sangat berbesar hati apabila pihak JICA menyumbangkan dana bagi kerja-kerja membaikpulih tersebut.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak JICA serta YCU dan CY yang percaya dengan kepakaran yang USM perolehi bagi membantu dalam projek yang besar ini,” kata Omar yang juga salah seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) USM.
Jalinan kerjasama ini dimeterai dalam satu Memorandum Persefahaman yang ditandatangani oleh kelima-lima institusi tersebut yang mana berkuatkuasa mulai Oktober 2015 sehingga 31 Disember 2018.
“Kami sangat teruja untuk meneruskan kerjasama dengan USM dan pihak-pihak lain yang terlibat dan berharap projek ini berjaya dengan kerjasama pakar dalam pelbagai bidang serta pengalaman yang ada dalam setiap entiti yang terlibat dalam projek ini,” kata Ketua Pengarah, Biro Hal Ehwal Antarabangsa CY, Makoto Sekiyama.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat serta memberikan sumbangan untuk menjayakan kolaborasi ini,” tambah Makoto.
Projek membaikpulih pulih ini adalah rentetan daripada kerjasama yang telah terjalin apabila CY membantu dalam projek perancangan bandar Pulau Pinang pada tahun 1980-an yang kini telah menjadi Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site).
Kini, MPSP, CY dan JICA adalah penganjur projek manakala USM dan YCU yang juga ahli International Academic Consortium for Sustainable Cities (IACSC) akan memberikan sokongan dalam bidang akademik termasuk kepakaran pensyarah dan juga pelajar.
Turut hadir dalam perjumpaan kesemua pihak itu di sini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Naib Presiden YCU, Dr. Kimio Okada; Dekan PPPBP USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dan Pengarah Bahagian Program Latihan, Yokohama International Centre, Kyoko Okubo.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 915