USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU TINGKATKAN KECEKAPAN PDRM DALAM BIDANG IT

IMG 20160128 WA0005

PULAU PINANG, 27 Januari 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus berbakti kepada komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sebarang aktiviti pemindahan dan perkongsian ilmu pada masa yang akan datang.

Demikian ujar Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Tuan Syed Yusof Syed Kechik dalam  majlis perasmian penutupan kursus teknologi maklumat (IT) modul pembelajaran Microsoft Words dan Power Point pegawai kanan APR dan pegawai awam PDRM Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) USM.

Katanya, kursus terancang selama dua hari yang dikendalikan oleh PTPM ini amat berguna dan seterusnya meningkatkan kecekapan komuniti PDRM dalam bidang teknologi maklumat (IT).

"USM amat serius dalam agenda mentransformasikan komuniti melalui pemindahan ilmu atau dengan kata lain memasyarakatkan ilmu," jelasnya.

IMG 20160127 WA0006

Tambahnya lagi, kerjasama sebegini bersama PDRM akan disusuli dan dibincangkan lagi pada masa hadapan kerana ini adalah antara salah satu projek bersifat NBOS.

Syed Yusof juga sempat memberitahu jika PDRM memerlukan bantuan untuk mengadakan kursus berunsur bahasa, ianya amat dialu-alukan oleh USM.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, YDH DCP Dato' A. Thaiveegan pula menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga buat USM yang julung kalinya mengadakan kursus ini untuk komuniti PDRM khususnya di negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, aspek IT amat penting dan perlu dilihat dalam dunia global masa kini untuk diketahui oleh semua individu dan tidak terkecuali komuniti PDRM.

IMG 20160128 WA0007

"Kerjasama strategik antara USM dan PDRM dalam mengadakan kursus ini amatlah baik untuk melengkapkan diri setiap peserta untuk lebih berilmu dan mempunyai kepakaran tambahan dalam hidup kepolisian," katanya.

Tambahnya lagi, ilmu yang diperolehi oleh para peserta ini akan diaplikasikan untuk tugasan harian PDRM justeru ianya mampu mempamerkan imej PDRM yang lebih hebat di kaca mata umum.Seramai 28 peserta dari 9 jabatan PDRM terlibat dalam kursus ini yang berlangsung pada 26 dan 27 Januari 2016 ini.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain

  • Created on .
  • Hits: 894

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024