KEMALANGAN DI ACEH: USM TUBUH PASUKAN PASCA TRAUMA
PULAU PINANG, 13 Mac 2015 - Suasana sedih menyelubungi sekitar kawasan Kargo MAS Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pagi ini menunggu ketibaan jenazah Muhammad Izzamir Nabihan bin A. Majid, 23, yang meninggal dunia apabila bas yang dinaikinya bersama-sama 19 pelajar lain dan 6 orang kakitangan termasuk 5 orang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal terlibat dalam kemalangan di Aceh Rabu lalu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berada di PIA untuk menyambut ketibaan jenazah bersama-sama anggota keluarga pelajar dan pegawai-pegawai utama USM yang lain.
Naib Canselor yang masih kelihatan amat sedih dengan pemergian pelajar tersebut berkata, USM akan membantu apa sahaja yang boleh untuk membantu menguruskan jenazah dan mengharapkan keluarganya akan menerima takdir ini dengan tabah apatah lagi pemergiannya adalah tatkala dalam mencari ilmu dan sebahagian daripada tugasannya.
"Kita juga amat terhutang budi dengan rakan-rakan yang membantu menguruskan jenazah dan para pelajar USM di Aceh, termasuk Naib Canselor UniMAP Profesor Dato' Dr. Kamaruddin Hussin yang turut memainkan peranannya dalam memudahkan usaha yang dibuat," kata Omar.
Naib Canselor turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa pihak lain yang membantu USM.
"Kita juga berterima kasih kepada beberapa pihak lain, antaranya Rektor Universitas U'budiyah Indonesia Marniati SE MKes, Persatuan Alumni USM di Aceh, serta Persatuan Pelajar Malaysia di Aceh yang banyak membantu para pelajar dan staf yang terlibat kemalangan ini," ujar Omar.
Naib Canselor turut memaklumkan yang Universiti telah menubuhkan pasukan khas untuk membantu kesemua pelajar yang terlibat dengan insiden di Aceh melalui pasukan perubatan dari Pusat Sejahtera USM dan Institut Penyelidikan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam yang akan membuat pemeriksaan kesihatan lanjutan dan pasukan pasca-trauma yang terdiri daripada pakar kaunseling, ahli psikologi dan kaunselor USM yang antaranya ialah Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) yang juga pakar psikologi Profesor Dato' Dr. See Ching Mey yang akan membuat membuat penilaian dan memberikan bantuan yang sewajarnya.
"Dengan cara ini diharapkan dapat meringankan tekanan yang mereka hadapi setelah melalui pengalaman pahit semasa melakukan tugasan akademik projek tahun akhir mereka di Aceh.
"Para pelajar dan staf yang terlibat dengan kemalangan juga akan dipantau serta dijaga rapi sebaik sahaja tiba di Pulau Pinang agar dapat meneruskan pengajian Isnin ini sekiranya keadaan mengizinkan," jelas Omar.
Para pelajar serta staf yang terlibat juga dijangka tiba petang ini di PIA dari Banda Aceh.
Dalam pada itu, Zainal Arifin turut berdukacita di atas insiden tersebut dan mendoakan agar roh Allahyarham Muhammad Izzamir berada dalam kalangan orang-orang yang beriman.
"Saya amat bersyukur kerana tindakan pantas Naib Canselor yang turun padang memastikan semua urusan berjalan lancar melalui pasukan kerja yang menggabungkan semua pihak," kata Zainal Ariffin.
Jenazah Muhammad Izzamir tiba sekitar jam 10.30 pagi dengan penerbangan dari Kuala Lumpur yang sebelum itu dibawa melalui Jakarta dari Aceh. Jenazah kemudiannya dibawa ke kediaman bapa saudaranya di Kepala Batas Pulau Pinang untuk disemadikan selepas solat Jumaat.
Teks: Mohamad Abdullah & Siti Naquiah Abdillah
- Created on .
- Hits: 1776