USM LAKSANA PENGURUSAN KEJAT
PULAU PINANG, 26 Januari 2016 - Kejat (Lean) merujuk kepada koleksi prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang memberi tumpuan kepada mengenal pasti dan menghapuskan aktiviti yang tidak memberi nilai tambah dari aspek pembaziran kerja kepada pelanggan dalam mana-mana proses.
Demikian antara intipati taklimat oleh Penyelaras Kualiti USM, Dr. Mary Abraham sempena Konvensyen Kualiti USM 2015 hari ini di Dewan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang.
"Konsep pemikiran kejat terdiri daripada "set tools" yang membantu mengenal pasti dan menghapuskan kerja yang berasal dari perkataan Jepun merangkumi Sisa (MUDA), Ketidakstabilan (MURA) dan Membebankan (MURI)," kata penerima Tokoh Kualiti USM 2015 ini.
Jelasnya lagi, antara lima prinsip pemikiran kejat adalah mengenalpasti keutamaan pelanggan dan nilai, mengenalpasti dan memetakan 'value stream', membuat aliran dengan menghapuskan sisa, bertindak balas terhadap penilaian pelanggan dan meneruskan kesempurnaan.
"Tujuh tambah satu (7 + 1) jenis pembaziran pula merangkumi pengeluaran berlebihan, pengurusan inventori dan bahan yang tidak sistematik, masa menunggu yang lama, pergerakan yang tidak diperlukan, kemahiran pekerja tidak digunakan sepenuhnya, kerosakan dan kecacatan pada produk dan perkhidmatan, proses yang bertindih dan berulang dan pengendalian sistem pengangkutan yang tidak cekap," ulas lanjut beliau.
Pelancaran Pengurussn Kejat atau Lean Management disempurnakan oleh Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Kampus Kesihatan USM dan Pengarah HUSM Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Tuan Haji Ab. Rahim Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Bureau Veritas Certification (M) Sdn Bhd dan wakil dari TUV Rheinland Malaysia Sdn Bhd.
Terdahulu Omar merasmikan Konvensyen Kualiti USM 2015 dan juga menyampaikan Perutusan Tahunannya bagi tahun 2016.
Konvensyen bertemakan 'Kualiti Menjana Kecemerlangan' ini dianjurkan oleh Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1424