USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERGIAT USAHA PENINGKATAN PENGIKTIRAFAN AKREDITASI

KEPALA BATAS, 26 Januari 2016 -  Penyelaras Kualiti Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mary Abraham dinobatkan sebagai Tokoh Kualiti USM 2015 sempena Konvensyen Kualiti USM 2015 yang berlangsung di Dewan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

Mary  menerima pengiktirafan ini dengan penuh kesyukuran dan menganggap masih banyak tugasan yang perlu dilakukan dalam aktiviti dan program yang melibatkan kualiti seperti Pengurusan Kejat (Lean Management), 5S dan lain-lain lagi di USM.

“Melalui elemen-elemen kualiti ini, USM mampu untuk terus mendapatkan akreditasi, justeru boleh menjana kewangan untuk universiti dari semasa ke semasa,” katanya.

Ulas Mary, sebagai contoh di Hospital USM (HUSM), hospital ini mampu berkembang lebih jauh kerana mempunyai tenaga kepakaran yang hebat di negara ini yang bertugas di situ dan menjadi antara tempat rujukan umum dan masyarakat, membawa kepada penjanaan kewangan melalui konsep pelancongan kesihatan.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pula berkata, Konvensyen Kualiti USM 2015 ini memberi pengiktirafan kepada semua warga USM yang memberi perkhidmatan dalam pelbagai bidang melibatkan kualiti.

“Kualiti merupakan komponen penting dalam menentukan kejayaan sesebuah institusi, konsep pendekatan seperti Pengurusan Kejat, 5S, Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK), ISO dan lain-lain lagi sangat relevan untuk dipraktikkan dalam organisasi,” ujar Omar yang turut merasmikan konvensyen ini.

Tambahnya, USM perlu memberi fokus kepada peningkatan pengiktirafan makmal-makmal untuk diakreditasikan selain program CIC yang akan terus dilaksanakan bagi pembaikan berterusan serta Lean Management dan juga 5S untuk memastikan bahawa pengoptimuman sumber adalah satu lagi strategi untuk meningkatkan produktiviti staf.

Pun begitu katanya, pelaksanaan aktiviti kualiti dalam organisasi bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti semata-mata malah dapat menjana kewangan serta menjimatkan kos operasi lebih-lebih lagi dalam usaha universiti untuk mengoptimumkan penggunaan sumbernya.

Pada masa ini, 20 makmal dan peranti perubatan dari Kampus Induk dan Kampus Kesihatan USM telah mendapat akreditasi dan 11 lagi sedang dalam proses untuk mendapatkannya iaitu masing-masing 6 dari Kampus Induk, 2 dari Kampus Kejuruteraan dan 3 dari Kampus Kesihatan.

Seramai 400 hadir ke Perutusan Tahunan Naib Canselor 2016 serta Konvensyen Kualiti 2015 ini.

Terdahulu Naib Canselor menyampaikan Perutusan tahunannya di hadapan warga IPPT USM yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Kampus Kesihatan USM dan Pengarah HUSM Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Tuan Haji Ab. Rahim Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Bureau Veritas Certification (M) Sdn Bhd dan wakil dari TUV Rheinland Malaysia Sdn Bhd.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Zamani Abd. Rahim

  • Created on .
  • Hits: 918

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024