ASENet DILANCAR
PULAU PINANG, 26 Januari 2016 – Jaringan Keusahawanan Pelajar ASEAN atau ASEAN Students Entrepreneurship Network (ASENet) telah dilancarkan oleh Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) Tengku Tan Sri Dr. Tengku Mahaleel Tengku Ariff di sini baru-baru ini.
“ASENet dapat menonjolkan negara ASEAN di mata dunia dan menunjukkan kita juga hebat dan boleh melakukan perkara unik walaupun dalam kalangan pelajar universiti,” kata Tengku Mahaleel yang juga berpendapat bahawa jaringan ini adalah sangat penting kepada negara ASEAN yang mempunyai populasi seramai 600 juta orang.
“Saya berharap ASENet akan terus berjaya menjalankan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada pelajar secara amnya dan juga kepada negara-negara ASEAN khasnya,” kata Tengku Mahaleel.
“USM sangat pentingkan bakat dan kemampuan pelajar dalam keusahawanan dan konvensyen seperti ini adalah sangat penting bagi mewujudkan platform untuk para pelajar lebih mengasah bakat keusahawanan serta mematangkan diri seseorang itu,” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman.
“Saya berharap dengan tertubuhnya jaringan ini akan lebih mengeratkan hubungan keusahawanan di antara pelajar dan universiti di seluruh negara ASEAN,” tambah Omar yang berbangga USM menjadi pelopor dalam mewujudkan ASENet tersebut.
ASENet adalah bertujuan untuk memupuk bakat keusahawanan dalam diri pelajar melalui perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, dan program-program kerjasama keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti di negara-negara ASEAN.
USM melalui Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein akan mempengerusikan ASENet bagi tempoh tiga tahun iaitu dari 2016-2018 dan seterusnya pengerusi dilantik secara bergilir-gilir dalam kalangan universiti di ASEAN.
“Keusahawanan ini boleh diringkaskan menjadi START iaitu Share (Perkongsian), Thank you (berterima kasih), Aim high (tinggi matlamat), Reach Dream (capai impian) dan Take one step at one time (ambil satu langkah pada satu masa),” kata salah seorang peserta konvensyen ini iaitu John Paulo delas Nieves dari Filipina yang berucap mewakili semua peserta konvensyen.
ASENet telah dilancarkan di majlis penutup konvensyen Keusahawanan Pelajar ASEAN baru-baru ini yang telah melibatkan lebih 200 orang pelajar termasuk dari Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura, Myanmar, Laos, Cambodia, Filipina dan Malaysia.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; wakil Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Nazri Sulaiman; Konsul Thailand, Sukoom Somprasonk; Pengarah Projek Konvensyen Keusahawanan Pelajar ASEAN, Arivanandhan Gunaseelan serta wakil-wakil Universiti Awam di Malaysia dan universiti ASEAN.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 944