USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN RAF SYNERGY PERKUKUH KERJASAMA TUBUH KLINIK PERGIGIAN

usains 3

KUBANG KERIAN, 25 Januari 2016 - Program kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan RAF Synergy Sdn. Bhd. diperkukuhkan lagi dengan perasmian Klinik Pergigian Poliklinik Eksekutif di Hospital USM hari ini.

Program yang menggunakan pendekatan kerjasama swasta dengan syarikat USM adalah untuk meningkatkan perkhidmatan perawatan pergigian kepada masyarakat. 

Penyerahan ‘Fixed Dental Equipment’ dan perasmian Klinik Pergigian ini adalah rentetan daripada ‘Donation Agreement’ yang telah ditandatangani antara RAF Synergy Sdn. Bhd. dan USM pada 3 September tahun lalu.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, sumbangan ini sangat berharga untuk membolehkan USM memberi rawatan eksekutif secara berbayar di Poliklinik Usains.

Usains 1

“Poliklinik ini adalah satu cabang menyusun semula Hospital USM untuk membantu menjana pendapatan dan USM merancang untuk menawarkan perkhidmatan di poliklinik pada sebelah malam untuk orang awam yang diuruskan oleh Usains Tech Sdn. Bhd. (UTSB).

“Hospital menyediakan Klinik Warga untuk semua staf USM pada siang hari dan kita akan menggunapakai peralatan sedia ada pada sebelah malam untuk memberikan rawatan secara berbayar kepada orang awam sebagai salah satu cara menjana pendapatan,” tambah Omar.

Selain daripada itu, beliau juga turut memaklumkan USM telah mengenalpasti ruang sedia ada yang boleh diubahsuai sebagai wad berbayar sejajar dengan program pembangunan semula Hospital USM dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk menjana pendapatan sendiri selain daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. 

Pada tahun 2015, UTSB berjaya mendapat pulangan berjumlah RM5.5 juta melalui semua aktiviti korporat yang dijalankan di Kampus Kesihatan. 

usains 4

Manakala pada tahun 2016, UTSB membantu USM mewujudkan sebuah Klinik Eksekutif Pergigian dengan kos sebanyak RM80,000 melalui kerjasama dan sumbangan RAF Synergy Sdn. Bhd.

“USM mengharapkan dengan perancangan yang dibuat ini dapat meningkatkan keupayaan hospital dalam menjana pendapatan sendiri selain daripada geran kerajaan yang sedia ada," kata Omar.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein, Pengurus Besar Usains Tech Sdn Bhd, Profesor Dr. Zabidi Azhar Husin @ Mohd Hussin, wakil daripada RAF Synergy Sdn. Bhd. serta ketua-ketua jabatan.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid

Foto:  Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sakri

  • Created on .
  • Hits: 911

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024