MENGARUS PERDANA PENGANTARABANGSAAN UNIVERSITI
KUBANG KERIAN, 25 Januari 2016 – Perutusan Tahunan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) 2016 di Dewan Utama Kampus Kesihatan membawa paradigma baru hala tuju USM dalam merancang bagaimana untuk menentukan nilai teras yang perlu diamalkan dan seterusnya menyusun langkah untuk melalui perubahan dengan iltizam yang tinggi dan penuh keyakinan dalam inspirasi universiti APEX untuk memartabatkan kedudukan USM di arena dunia melalui pelbagai usaha dalam Pelan Strategik USM APEX 2020.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, pelbagai usaha diperkasakan untuk memacu USM menjadi sebuah Universiti Global (UG).
Ini termasuklah melakukan transformasi akademik dengan penubuhan pusat kecemerlangan dan penyelidikan yang diharap dapat melonjakkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran serta dapat memantapkan lagi bidang tujahan penyelidikan di USM.
"Ahli-ahli akademik memainkan peranan penting dalam meneroka ufuk ilmu sejagat, antaranya ialah meningkatkan keupayaan intelek dan kepakaran disiplin ilmu melalui penyelidikan dengan bakat dan kepakaran digilap berasaskan penyelidikan yang berterusan dan dibuktikan melalui penulisan ilmiah bertaraf antarabangsa,” kata Omar.
Jelasnya, rekod data USM menunjukkan para penyelidik dan ahli akademik USM telah menghasilkan sebanyak 20,814 penerbitan termasuk penerbitan bersama ahli-ahli akademik dari 127 buah negara dunia dari India, Arab Saudi, United Kingdom, Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
“Manakala sepanjang tempoh 2011 – 2015, sebanyak 51 hasil produk penyelidikan USM dipatenkan di lebih 15 buah negara termasuk Singapura, Thailand, Jerman, Indonesia, Turki, United Kingdom, Australia, Jepun, Rusia, Switzerland, Amerika Syarikat, Republik Rakyat China, Korea Selatan dan Malaysia serta beberapa buah negara Afrika," kata Omar.
Jelasnya lagi, alumni juga adalah aset penting yang tidak ternilai harganya dan boleh menjamin kelestarian masa depan USM.
"Alumni adalah sekelompok ‘bekas pelajar’ yang telah bersama kita, mendapat pendidikan dan pengetahuan daripada kita dan kini telah menjadi warga negara berkedudukan, berjaya dan bersama memacu pembangunan negara dengan banyak universiti terkehadapan, mempunyai sistem pengurusan alumni yang baik dan mendapat ‘dana pembiayaan’ untuk penyelidikan dan pembangunan daripada ahli alumninya dan pada prinsipnya, kita perlu memberikan perhatian yang serius dengan memperkasa jaringan alumni untuk masa hadapan yang lebih cemerlang," jelas Naib Canselor.
Beliau turut menjelaskan kepada warga kampus tentang usaha pemantapan governan universiti."USM telah mengadakan bengkel untuk meneliti Struktur Organisasi USM dari perspektif bagaimana meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran sejajar dengan tuntutan masa hadapan dengan beberapa isu dan kekangan struktur dengan hasilnya memilih pendekatan pengurusan yang bersifat lebih fleksibel dan bertunjangkan konsep kepimpinan yang mempunyai nilai insaniah yang tinggi serta mampu memimpin staf seliaan dengan cekap dan berintegriti tinggi," kata Omar.
Naib Canselor menyeru semua warga USM untuk melihat cabaran yang sedang dan akan diharungi dan mengambil peluang yang menunggu di hadapan semua.
"Semua usaha mengharungi perubahan tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sokongan padu semua dan saya berharap seluruh warga USM bersedia bersama-sama mengharungi cabaran seluas lautan demi kepentingan USM tempat kita mendapat rahmat dan mencurah bakti," kata Omar.
Yang turut hadir adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Dato’ Profesor Dr. Asma Ismail, ahli Lembaga Gabenor Universiti Profesor Dato' Dr. Morshidi Sirat dan Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Ariff, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pengarah/Penolong Naib Canselor Kampus Kesihatan Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, dan ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan USM.
Asma berkata, pihak KPT amat menyokong inspirasi USM menjadi sebuah universiti global.
“Pengantarabangsaan merupakan program besar KPT yang telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat ‘pengajian tinggi antarabangsa," kata Asma.Naib Canselor turut menyampaikan watikah pelantikan kepada sembilan Pegawai Tertinggi di USM Kampus Kesihatan yang diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed yang dilantik sebagai Pengarah Kampus/Penolong Naib Canselor Kampus Kesihatan merangkap Pengarah Hospital USM, diikuti dengan pelantikan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian Profesor Dr. Adam Husein, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Profesor Dr. Ahmad Hj Zakaria, Pengarah INFORMM Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor, Pengarah PT3 Neuro Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Datuk Hj Abdullah, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan Dr. Saidi Jaafar, Penggawa Desasiswa Murni Dr. Raja Azman Raja Awang dan Penggawa Desasiswa Nurani Tn Hj Yusoff Abdullah.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1336