USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN USC BERKOLABORASI DALAM BIDANG SAINS DAN KEBUDAYAAN

 DSC3570rt

PULAU PINANG, 24 Januari 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus melebarkan sayapnya ke peringkat global dengan termeterainya penandatanganan perjanjian persefahaman bersama University of Science and Culture (USC) dari Iran.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, melalui perjanjian ini, kolaborasi dalam bidang sains dan kebudayaan dapat dimantapkan antara kedua-dua universiti terutamanya dalam teknologi kejuruteraan petroleum dan pengurusan pelancongan.

"Selain itu, USC dan USM juga mempunyai beberapa pensyarah terkenal dunia dan kolaborasi antara saintis-saintis ini dapat dilakukan dalam bidang-bidang kepakaran tertentu lain serta mempelopori bidang penyelidikan dan juga pertukaran pelajar dan pensyarah antara dua universiti ini dapat dilaksanakan," jelasnya.

Omar juga berharap dengan termeterainya perjanjian ini, kedua-dua pihak dapat meneruskan lagi penerokaan kerjasama yang lebih giat, perkongsian kepakaran dan meyakini manfaat besar dapat dicapai kelak.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi USC, Profesor Madya Dr. Azizollah Jafari pula menyifatkan perjanjian ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan dari segi pendidikan antara Malaysia dan juga Iran.

"Melalui hubungan ini, USC dapat memperolehi manfaat daripada USM yang pakar dalam bidang-bidang tertentu yang USC tidak ada," katanya.

 DSC3573j

Pun begitu katanya, USC akan terus bekerjasama bersama USM pada masa akan datang dan berharap perjanjian ini merupakan satu titik tolak kepada hubungan yang lebih akrab antara dua institusi ini pada masa depan.

Buat masa ini terdapat seramai 201 pelajar dari Iran yang sedang melanjutkan pengajian ijazah tinggi dalam pelbagai bidang di USM.

Turut hadir ke majlis ini adalah Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM Profesor Dr. Narimah Samat, mantan Dekan PPIK Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim, Penolong Profesor Dr. Hasan Sheybani dari USC beserta 8 ahli delegasinya.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 869

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024