USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA DENGAN PU PROFILE PERKASA PELAJAR HBP USM

 DSC3550h

PULAU PINANG, 22 Januari 2016 – Kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan syarikat berpengalaman luas dalam bidang pembinaan berteknologi di negara ini, PU Profile Sdn. Bhd (PU) disifatkan bakal memberi manfaat besar buat pelajar USM.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, tiga fokus kerjasama akan melihat kepada kekuatan PU dalam sistem bangunan industri (IBS), teknologi termaju dalam pembinaan serta rekabentuk bangunan yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar.

Katanya, IBS menjadi satu daya saing penting dalam syarikat-syarikat pembinaan  dan kemajuan di negara ini dan dengan adanya kolaborasi bersama PU akan memperkasakan kemahiran pelajar khususnya dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP).

“ Kita mensasarkan PU untuk meneroka tiga aspek penting ini bersama USM. Ini adalah satu kolaborasi dengan tiga fokus utama yang melihat kepada kemajuan industri pembinaan menggunakan IBS yang semakin meningkat penggunaannya dalam industri pembinaan.

“Dua fokus lagi melihat kepada aspek termaju dalam teknologi pembinaan dan juga rekabentuk pembinaan yang mana gabungan tiga aspek ini jika diaplikasikan dalam konsep teknologi hijau akan memberi manfaat besar secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama (CA) dengan PU Profile Sdn. Hadir menandatangani bagi pihak PU ialah ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarahnya, Mckinley Soon.

Turut hadir ialah Dekan Pusat HBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dan Timbalan Presiden, Pengurusan Kontrak PU, Datin Hanita Hamzah.Omar turut berkata, PU juga telah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dalam menawarkan tempat bagi pelajar menjalankan latihan industri serta turut menawarkan peluang kerjaya kepada pelajar yang berpotensi.

“PU sudah menjanjikan nilai kolaborasi bernilai RM100,000 untuk pelajar dan pensyarah dalam program mobiliti dan internship dan didedahkan dengan aspek penting dalam pengurusan projek dan proses pembangunan.

“Kepakaran PU Profile serta bakat pensyarah yang ada di USM akan memberi sinergi kepada pelajar USM dalam memperkasakan bakat serta meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang yang diceburi,’’ katanya.

Dalam pada itu, Mckinley pula berkata, pihaknya komited berkolaborasi dengan USM dan ingin memberi impak kepada bidang akademik melalui kepakaran industri yang dimiliki PU.Tambah beliau, PU telah banyak menjalankan kajian dan meneroka peluang-peluang serta teknologi tinggi rekacipta bangunan di pelbagai negara termasuk Eropah dan ia perlu diterjemah untuk manfaat industri di negara ini.

 DSC3573j

“Kitan melihat keperluan untuk berkongsi kepakaran yang ada dan diterjemahkan ke bidang akademik. Kami juga telah menerima ramai pelajar menjalani latihan industri dan nyata kewibawaan pelajar USM berbeza dengan yang lain.

“Mereka mempunyai kesungguhan mendalam dan minat yang tinggi untuk belajar sesuatu yang baru dan PU bersedia memberikan kerjasama penuh untuk menjayakan kolaborasi strategik ini,’’ katanya.

Melalui kolaborasi itu juga, PU telah bersetuju menaja pembinaan sebuah bangunan di USM yang akan dibuat dengan menggunakan teknologi hijau terkini bagi menempatkan galeri inovasi dan produk rekacipta pelajar USM.

Teks: Marziana Mohamed Alias

Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1144

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024