USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MANTAPKAN PENGURUSAN KEWANGAN UNIVERSITI

PULAU PINANG, 22 Januari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan memberi fokus kepada proses penjanaan kewangan dan penjimatan kos untuk universiti dalam menghadapi cabaran yang mendatang dari sudut pengurusan bajetnya.
 
Demikian merupakan antara pesanan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan penutupan APEX Leadership Program (ALP) Kompetensi Kewangan – Pengurusan Kewangan untuk Ketua PTJ USM di Dewan Persidangan Universiti (DPU) kelmarin di hadapan ketua-ketua PTJ USM.
 
Menurut Omar, selain itu, universiti juga akan memberi perhatian kepada persekitaran perniagaan dalam merealisasikan aspek penjanaan kewangan dan ini juga akan dilaksanakan di kampus-kampus lain USM.
 
“Cabaran perlu dihadapai oleh semua warga USM dan melaksanakannya bersama-sama serta mempunyai sikap bertanggungjawab bagi mencapai matlamat yang direncanakan,” tambahnya.
 
Terdahulu, ceramah bertajuk “Managing in Challenging Times, Minimizing the Impact” disampaikan oleh Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) YM Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Ariff.
 
Dalam ceramah ini, Mahaleel memberitahu perkara berkaitan kewangan yang dihadapi sekarang bukanlah satu krisis, tetapi cabaran yang perlu dilalui oleh semua yang terlibat.
Pun begitu katanya, cabaran yang dihadapi dari segi kos, keuntungan, hasil dan aliran tunai ini boleh diatasi dan diselesaikan bergantung kepada strategi dan matlamat yang ingin dicapai oleh suatu institusi itu.
 
“Analisa perlu dilakukan berkaitan fasiliti, kelengkapan, acara rasmi, utiliti dan sisa produktiviti di USM untuk mencapai pengurusan sumbernya secara optimum,” ujarnya.
 
Tambahnya, USM juga perlu melihat perancangan 5 hingga 10 tahun kehadapan dan perlu bergerak lebih pantas untuk penyesuaian diri dalam persekitaran ekonomi masa kini serta teknik kaizen adalah salah satu cara yang dapat dilakukan untuk pemantapan sesuatu pengurusan itu melalui analisis punca dan penyebab.
 
“Sistem alumni juga antara mekanisme yang perlu dilihat semula dari aspek penjanaan kewangan kerana USM adalah universiti kedua tertua di Malaysia dan mempunyai ramai alumni-alumni yang sudah berjaya dan diiktiraf,” kongsinya lagi.
 
Mahaleel juga menasihatkan jika sesebuah institusi mengalami masalah kewangan, perkara utama yang perlu dilihat adalah untuk menyelamatkan pekerjaan para staf-stafnya terlebih dahulu sebelum melihat perkara-perkara seterusnya kerana nadi sesebuah institusi adalah berlandaskan kepada staf-stafnya.
 
Sejumlah hampir 70 ketua-ketua PTJ USM hadir ke program yang berlangsung selama sehari ini.
 
 
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto : Mohd Fairus Md Isa
  • Created on .
  • Hits: 1228

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024