USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IJAZAH SENI BINA USM DIIKTIRAF BADAN PROFESIONAL ANTARABANGSA

PULAU PINANG, 22 Januari 2016 – Dua ijazah Seni Bina Universiti Sains Malaysia (USM) kini diiktiraf oleh badan profesional terkemuka dunia the Chartered Association of Building Engineers (CABE) yang ditubuhkan sejak tahun 1925. Akreditasi ini adalah sehingga Julai 2020.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah, pihaknya  baharu menerima makluman tentang akreditasi tersebut untuk BSc HBP (Architecture) dan B.Arch atau Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) dalam Bidang Seni Bina iaitu untuk Peringkat Pertama  yang memakan masa pengajian selama 3  tahun dan Peringkat Kedua yang memakan masa pengajian selama 2  tahun yang membolehkan para pelajar kita memperolehi pelbagai kemudahan termasuk biasiswa dan kemudahan membuat rujukan penerbitan di samping pelbagai kemudahan untuk kakitangan melakukan penyelidikan di sana.

CABE adalah badan profesional terkemuka dalam bidang ‘design, construction, evaluation and maintenance of buildings’ dengan ahli-ahlinya terdapat di United Kingdom, Eropah malah seluruh dunia dalam sektor awam dan swasta dengan memberi pengiktirafan kepakaran profesional dalam bidang berkenaan.

CABE mempunyai 12 pejabat di United Kingdom dan Ireland dan sedang membuka cawangan (chapters) di Macau, Hong Kong, Singapura, Asia Barat dan Amerika Syarikat serta yang terkini di Malaysia.

“Pengiktirafan ini penting dalam memastikan USM dapat menjalankan kolaborasi di peringkat dunia dalam bidang Seni Bina, malah juga dalam bidang-bidang lain yang berkaitan sama ada untuk tujuan mobiliti pelajar mahu pun untuk penyelidikan dan inovasi melalui perkongsian  kepakaran dengan mereka yang berada di seluruh dunia di samping mendapat bantuan teknikal apabila perlu,” kata Aldrin.

Pada masa ini seramai 144 orang pelajar sedang mengikuti program Seni Bina USM Peringkat 1 dan 50 orang sedang mengikuti pada peringkat 2.  USM telah menghasilkan lebih 800 orang siswazah dalam bidang Seni Bina sejak diperkenalkan pada tahun 1972.

Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan turut menawarkan pengajian dalam bidang Pengurusan Binaan, Rekabentuk Dalaman, Teknologi Bangunan, Ukur Bahan, Perancangan dan Ukur Bangunan dengan keseluruhan pelajar seramai 800 orang pelajar.

“Kami berharap untuk meningkatkan lagi pengiktirafan seperti ini, malah berusaha untuk menawarkan pengajian secara pesisir di pelbagai negara dunia, yang terkini ialah sedang meneroka kerjasama dengan Summit Group Academy, Turki untuk tujuan tersebut,” kata Aldrin.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1778

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024