USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ASENet 2016 DISAMBUT BAIK PELAJAR-PELAJAR NEGARA ASEAN

PULAU PINANG, 21 Januari 2016 – Konvensyen Rangkaian Keusahawanan ASEAN atau ASEAN Student Entrepreneurship Network (ASENet) 2016 yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Majlis Perwakilan Pelajar disambut baik oleh peserta daripada negara-negara ASEAN.

ASENet 2016 disertai oleh 200 orang pelajar dari 15 buah universiti di Malaysia, Singapura, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar, Indonesia, Filipina dan Brunei ini betujuan untuk memperkenalkan dan mengukuhkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti ASEAN.

Pelajar dari University Of Philippines, John Paulo G. Delas Nieves, 21, menyambut baik penganjuran ASENet 2016 ini kerana baginya ini merupakan satu platform yang baik dalam kalangan para pelajar dari semua negara ASEAN untuk berkumpul dan bertukar-tukar pendapat tentang keusahawanan.

“Keusahawanan merupakan satu bidang wajib dipelajari oleh setiap pelajar universiti kerana para belia inilah merupakan tonggak bagi masa depan negara untuk menjana pendapatan ekonomi negara masing-masing,” tambahnya.

Katanya lagi, di Filipina, keadaan ekonomi yang tidak sama rata bagi setiap masyarakat telah mendorong para pelajar universiti untuk menjadi seorang usahawan di samping mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

“Saya berharap melalui penganjuran konvensyen seperti ini akan dapat mengutip sebanyak mana ilmu daripada individu yang berpengalaman untuk membina kerjaya sebagai seorang usahawan yang berjaya,” kata John Paulo yang juga merupakan Presiden bagi Majlis Perwakilan Pelajar di universitinya.

Pendapat yang sama turut dikongsi bersama oleh pelajar daripada Universitas Sumatera Utara, Indonesia, Muhammad Taufik Siagian, 20, yang kini telah berjaya membina empayar perniagaan makanannya tersendiri di Sumatera Indonesia walaupun masih bergelar pelajar lagi.

“Saya gunakan peluang untuk mengikuti konvensyen ini untuk sama-sama berkongsi idea dalam menjadi seorang usahawan yang berjaya di masa di masa hadapan di samping dapat menimba ilmu yang berguna untuk berkongsi bersama-sama pelajar yang lain di Indonesia,” tambah anak muda yang memiliki premis perniagaan ikan keli yang diberi nama Abon Lele ini.

Berbeza pula pendapat bagi pelajar dari Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA), Brunei Mohd Aisamuddin, 21, yang merasakan keusahawanan adalah satu bidang baru bagi pelajar-pelajar universiti. Baginya, selama ini mentaliti masyarakat dan pelajar universiti itu sendiri ialah apabila tamat belajar akan mendapat pekerjaan tanpa perlu memikirkan untuk membina perniagaan sendiri.

“Di Brunei, setiap pelajar universiti akan mendapat pembiayaan daripada pihak kerajaan, tetapi dengan adanya inisiatif untuk menjalankan perniagaan, ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar menjana pendapatan sendiri serta mencari idea dalam membina perniagaan yang maju di masa hadapan,” katanya.

Menurutnya lagi, ASENet 2016 ini akan menjadi satu tempat untuk pelajar-pelajar universiti daripada negara ASEAN berkongsi idea secara kritis selain menimba pengalaman daripada mereka yang telah berjaya untuk dijadikan idola.

ASENet 2016 yang berlangsung dari 20 hingga 23 Januari 2016 di Kompleks Cahaya Siswa, Kampus Induk USM ini dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pada hari ini.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni - HEPA), USM Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey; Timbalan Naib Canselor University Of Philippines, Dr. Neil Martial R. Santillan; Timbalan Naib Canselor Universitas Sumatera Utara, Drs. Raja Bongsu Hutagalung; Timbalan Naib Canselor (HEPA) Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Abdul Aziz Ab Latif dan Pengarah Projek ASENet Arivanandhan Gunaseelan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1139

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024