PEMBANTERASAN JENAYAH DI MALAYSIA TIDAK BERMUSIM DAN TIDAK PERLU DIPOLITIKKAN
PULAU PINANG, 12 Mac 2015 – Pembanterasan jenayah tidak bermusim malah dibuat secara berterusan dan pihak berkuasa tidak pernah berkompromi serta akan melakukan apa sahaja yang boleh demi keselamatan rakyat, justeru isu ini tidak perlu dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Demikian kata Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sesi ucap utamanya dalam program Forum Jenayah dan Kepolisan Di Malaysia kali ke-9; "Policing Strategies In Reducing Violent Crimes" di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
"Sebagai contoh, Ops Cantas Khas yang berjaya mengurangkan 30 peratus indeks jenayah dengan penangkapan 8,868 individu dan 280 senjata dirampas," kata Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa persepsi negatif masyarakat terhadap anggota badan beruniform terutamanya polis perlu diubah, tambahan pula pada masa sekarang cabaran terhadap kerjaya itu bukan kecil tetapi mereka dapat memikul sebaiknya amanah yang diberi dengan integriti yang tinggi.
Ahmad Zahid juga turut mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang kerana merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah penurunan kadar jenayah yang paling tinggi.
Sementara itu Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata penganjuran forum ini untuk kali ke-9 sangat bermakna apatah lagi dengan kehadiran dan sokongan pelbagai pihak.
"Saya gembira bahawa Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM dapat bekerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Pulau Pinang dan Persekutuan) dalam menganjurkan forum ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (Kontinjen Pulau Pinang), Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Keselamatan Jabatan USM, Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dan Kementerian Dalam Negeri.
Jelas Omar, isu jenayah kini kian mencabar dan forum ini diharapkan dapat menyebarkan maklumat mengenai jenayah dan sistem kepolisan di Malaysia serta menjelaskan sebarang salah faham yang timbul.
"Saya amat berharap forum ini akan memberi pengalaman yang berharga untuk semua peserta. Forum seperti ini perlu diteruskan kerana dapat membawa mengumpulkan pelbagai cetusan idea bersama banyak pihak yang berminat untuk menangani isu-isu yang menjadi perhatian umum," tambah Omar lagi.
Pada majlis yang sama, USM menandatangani memorandum persefahaman dengan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM-KDN) untuk berkongsi kepakaran, pengetahuan serta maklumat berkaitan dengan aspek jenayah, keselamatan dan kesejahteraan awam di Malaysia.
USM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman manakala IPSOM-KDN diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) Dato' Sri Adenan bin Ab. Rahman. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2020