ASENet KUKUH BIDANG KEUSAHAWANAN DI ASEAN
PULAU PINANG, 21 Januari 2015 - Konvensyen Keusahawanan Pelajar ASEAN anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Majlis Pewakilan Pelajar USM (MPP USM) diadakan bertujuan untuk memperkenalkan dan mengukuhkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti ASEAN serta melancarkan ASEAN Students Entrepreneurship Network (ASENet) 2016.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman, ASENet ini mula dibentuk apabila semua universiti di ASEAN ini mempunyai banyak persamaan dan juga amalan terbaik dalam bidang keusahawanan yang dapat memberikan kebaikan kepada pelajar pada masa hadapan.
“Melalui ASENet, pelbagai program keusahawanan dapat dipromosikan dan dikongsi bersama-sama dalam kalangan universiti-universiti di ASEAN yang mana hari ini kita dapat lihat seramai 50 orang pelajar dari ASEAN tidak termasuk 65 orang pelajar dari Universiti Awam (UA) Malaysia berkumpul bersama dalam memanfaatkan bidang keusahawanan,” kata Naib Canselor.
“ASENet ini akan menjadi salah satu daripada empat jaringan atau network yang telah dimulakan dan dihoskan oleh USM termasuk Asia-Pacific University - Community Engagement Network (APUCEN) dan The South East Asia Sustainability Network (SEASN),” tambah Omar.
“Program ini mula dirancang pada tahun 2014 oleh MPP USM dan hanya pada tahun ini kami dapat merealisasikannya,” kata Pengarah Projek ASENet, Arivanandhan Gunaseelan.
“Program ini mendapat sambutan dan juga sokongan banyak pihak termasuk para pelajar dari seluruh negara ASEAN serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), USM Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein yang banyak memberikan galakkan serta dorongan untuk menjayakan ASENet ini buat kali pertama,” tambah Arivanandhan atau lebih dikenali sebagai Ari.
Tambah Ari lagi, melalui konvensyen ini, para pelajar akan mengikuti beberapa program termasuk pertandingan ‘Cash flow’ dan Kembara Minda manakala wakil-wakil pegawai universiti ASEAN termasuk pegawai tertinggi Timbalan Naib Canselor (TNC) akan membincangkan beberapa agenda untuk merealisasikan penubuhan dan pelancaran ASENet pada hari Sabtu nanti.
“Konvensyen ini dihadiri oleh lapan buah negara ASEAN melalui 11 buah universiti luar negara tidak termasuk Laos dan Myanmar yang tidak dapat menghantar wakil kerana sedang menduduki peperiksaan,” tambah Ari.
ASENet juga adalah satu platform rangkaian keusahawanan yang melibatkan pelajar daripada universiti ASEAN dalam berkongsi program keusahawanan dan melalui aktiviti ini juga diharapkan ikatan mesra antara pelajar tempatan dan luar negara akan dapat dibentuk melalui keusahawanan.
Antara universiti yang mengambil bahagian adalah Universiti Syiah Kuala Indonesia, Chiang Mai University Thailand, Nanyang Technological University Singapura dan Universiti Islam Sharif Ali yang mana para pelajar juga mengambil bahagian dalam pameran produk-produk keusahawanan universiti masing-masing.
ASENet 2016 ini berlangsung pada 20-23 Januari 2016 di Kampus Induk USM dan disertai oleh lebih 200 orang pelajar dari universiti di Malaysia, Singapura, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Filipina.
Turut hadir di majlis perasmian konvensyen ini adalah TNC BHEPA, Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein, TNC (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dato’ Dr See Ching Mey, Ketua Pegawai Eksekutif Nusantara Technologies Profesor Dato’ Ghazali Dato’ Yusoff, TNC University of Philippines, Dr Neil Martial R. Santilla dan TNC HEPA Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Dr. Abdul Aziz Ab Latif.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto : Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1031