USM, YAHIJAU TERAJU PROGRAM TEKNOLOGI HIJAU KE SEKOLAH MENENGAH SELURUH NEGARA
PULAU PINANG, 20 Januari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama erat dengan Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) bagi mewujudkan kesedaran aplikasi hijau dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh negara.
Projek yang dikenali sebagai Pembangunan Ilmu, lmplementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau Merentasi Kurikulum dan Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari itu dibangunkan bersama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE>).
Projek berkenaan dibuat melalui kaedah melatih seorang guru pakar Teknologi Hijau di setiap sekolah menengah yang mana kesemuanya berjumlah 2400 sekolah di seluruh negara.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM telah mendapat kelulusan dari YaHijau untuk menjadi rakan pintar dalam melaksanakan aktiviti kesedaran hijau merentas kurikulum dan ko-kurikulum bagi pendidikan lestari di sekolah-sekolah.
Katanya, projek yang dijangka mengambil masa sehingga empat tahun itu adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam menjadikan teknologi hijau sebagai salah satu bidang ekonomi, gaya hidup dan instrumen mengurangkan jejak karbon negara
“USM dan YaHijau akan lancarkan program lebih luas dari hanya membina program kesedaran dalam kalangan anak-anak muda di peringkat sekolah dan akan memberikan komitmen sebaik mungkin untuk menjayakan kolaborasi ini.
“Kita turut akan menyokong YaHijau dalam mempromosikan dan menjadikan teknologi hijau serta kesedaran dalam kelestarian sebagai gaya hidup lestari yang boleh mempengaruhi generasi masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YaHijau, Amin Abdullah pula berkata, kerjasama membina modul untuk kesedaran teknologi hijau ini adalah salah satu daripada usaha YaHijau mempromosikan gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Dalam konteks ini tumpuan adalah pada golongan kanak-kanak atau remaja yang menjadi aset penting untuk meneraju negara ke tahap yang lebih baik dari aspek kelestarian hijau alam sekitar pada masa hadapan.
“Kerjasama ini tidak akan terhenti di sini dan akan melihat potensi kolaborasi dalam pelbagai bidang lain. Usaha untuk kelestarian hijau bukan bersifat one-off namun ia perlu berpanjangan sehingga ke generasi akan datang,” katanya.
YaHijau adalah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang berperanan dalam mempromosi dan meningkatkan penyertaan badan korporat, masyarakat dan orang awam terhadap teknologi dan amalan hidup hijau.
Teks: Marziana Mohamed Alias
Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 1124