USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KAJI BURUNG HANTU AGEN BIOLOGI KAWAL PEROSAK TIKUS, KONSERVASI DAN KEKAYAAN BIODIVERSITI

 DSC3409nh

PULAU PINANG, 20 Januari 2016 – Para penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) sedang giat membuat kajian tentang keupayaan burung hantu atau dikenali juga sebagai burung pungguk jelapang (Tyto alba javanica) bagi mengawal makhluk perosak tikus seterusnya bagi tujuan konservasi dan meningkatkan kepelbagaian biologi di kawasan pertanian dan bandar di seluruh Malaysia termasuklah di kampus induk USM.

Menurut pakar kawalan perosak dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Dr. Hasber bin Salim, usaha menggunakan burung hantu ini telah lama dilakukan di negara ini seawal tahun tujuh puluhan terutamanya untuk mengawal tikus di kawasan pertanian seperti di kawasan sawah padi dan perladangan kelapa sawit dengan kejayaan yang memberangsangkan namun usaha memperkenalkannya di kawasan subbandar dan bandar di Malaysia kurang diberi perhatian.

“Dahulunya burung hantu ditakuti dalam kalangan masyarakat dengan rupanya yang dikatakan menakutkan dan apabila terbang dengan sayapnya yang berwarna putih kelihatan agak menakutkan, lalu cubaan dibuat untuk dinamakan sebagai burung pungguk untuk mengatasi stigma tersebut walaupun ia sangat comel dan setia kepada pasangannya.

 DSC3354

Di negara barat burung comel ini menjadi lambang kekayaan biodiversiti dan mendapat layanan 5 bintang dalam konservasi bagi mengekalkan populasinya di sesuatu kawasan seterusnya sebagai agen kawalan biologi perosak seperti mana di United Kingdom dan negara Eropah yang lain," kata Hasber.

Pensyarah muda yang baru berusia 36 tahun yang menyertai USM pada tahun 2014 ini banyak terlibat dalam kajian tentang burung hantu bermula semasa beliau mula berkhidmat sebagai pengawai penyelidik di Felda Global Ventures, FGV (R&D) pada awal tahun 2004 dan semasa melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada peringkat Doktor Falsafah.

Antara kajian dan projek yang telah melibatkan beliau sepanjang tempoh ini adalah usaha konservasi burung hantu di kawasan perladangan sawit yang terancam akibat penggunaan racun tikus yang berleluasa.

Beliau juga merupakan antara pakar yang telah menjayakan usaha kumpulan penyelidik FGV dan UPM memperkenalkan burung hantu di kawasan perladangan sawit di Felda Sahabat  Sabah bagi  tujuan kawalan perosak tikus.

 DSC3442

Melalui pasukan penyelidik yang dikenali sebagai Barn Owl Research Group USM yang ditubuhkan bersama penyelidik senior dari pelbagai kepakaran, kumpulannya baru-baru ini berjaya mendapatkan dana sebanyak RM175,000 di bawah Geran Universiti Penyelidikan (RU Grant) bagi usaha memperkenalkan burung hantu sebagai agen kawalan biologi perosak tikus dan lambang kekayaan biodiversiti di  kawasan kampus Minden USM, Pulau Pinang yang telah sedia terkenal dengan konsep Universiti Dalam Taman.

“Pada masa ini kita baharu menternak burung hantu ini yang biasanya diambil pada usia kurang dari sebulan selepas menetas di kawasan habitat asalnya di kawasan pertanian dan dibawa ke makmal atau Aviari Burung Pungguk USM untuk dibiasakan dengan diet baru iaitu tikus yang terdapat di sini dan mendapatkan pasangan yang sesuai kerana burung hantu sangat setia kepada pasangannya yang boleh menyebabkannya mati apabila pasangannya mati,” jelas Hasber.

Proses latihan ini biasanya mengambil masa 2-6 bulan sehingga burung hantu ini bersedia dilepaskan di sekitar kampus.

Beliau menunjukkan contoh bagaimana seekor burung hantu yang dibawa ke satu majlis pelancaran penggunaan burung hantu untuk tujuan menghapus tikus baru-baru ini menjadi murung dan terpaksa dijaga dengan teliti apabila pasangannya mati.

Burung hantu yang dinamakan Rina tersebut diberi perhatian penuh oleh Hasber dan pelajar ijazah kedoktorannya, Mohd. Safwan Mohd Saufi untuk memastikannya terus hidup termasuk dibawa berjalan-jalan sekitar kampus dan kini nampaknya telah mula segar dan diharapkan dapat dicarikan pasangan baharu dalam sedikit masa lagi.

Burung hantu akan terbang keluar sarangnya selepas senja manakala waktu siang akan menghabiskan masa di sarangnya yang mampu membunuh mangsanya dalam kawasan sekitar 5 hingga 50 hektar.

“Dua perkara yang dibuat sebagai latihan untuk menyediakannya memakan mangsa iaitu tikus di lapangan ialah dengan mendapatkan pasangan yang sesuai di dalam aviari dan kemudiannya menyesuaikannya dengan spesis tikus di kawasan di mana dia akan ditempatkan di dalam kotak sarang yang diperbuat dari bahan kayu dan fiberglass sebagai rumah tetapnya di lapangan,” jelas Hasber.

Burung hantu dikatakan memakan hampir 100% tikus berbanding dengan binatang lain misalnya ular hitam  yang pernah digunakan dalam pertanian yang hanya mampu memakan sekitar 100 – 200 ekor setahun, manakala burung hantu mampu memakan sekitar 2- 3 ekor tikus  semalam dengan sepasang burung hantu dan anak-anaknya dianggarkan mampu memakan kira-kira 1,500 ekor tikus setahun.

Tambah Hasber, kejayaan projek ini seperti mana banyak dilaporkan oleh media baru-baru ini membuka ruang untuk burung hantu digunakan dalam membunuh tikus, apatah lagi di sesetengah kawasan seperti  di negeri Pulau Pinang ini misalnya, setiap malam tidak cukup untuk menggunakan 50 perangkap tikus yang disediakan.

“Ini adalah satu contoh bagaimana keupayaan penyelidik kita untuk membantu mengatasi masalah makhluk perosak tikus  dengan menggunakan  burung hantu sebagai agen biologi dengan meningkatkan lagi kapasiti untuk digunakan secara meluas bukan sahaja di kawasan luar bandar dan pertanian malah juga di kawasan bandar yang tidak membolehkan burung hantu membiak apabila tidak boleh membina sarang secara semula jadi melalui pokok dan bahan kayu yang telah dijadikan kawasan perumahan batu,” katanya sambil membelai lembut bulu-bulu 'Rina' yang begitu manja di tangannya.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Zamani Abd. Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 2714

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024