USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN NCIA PINDAH ILMU UNTUK KOMUNITI, KOMERSIAL MADU KELULUT

IMG 20160117 WA0006

PULAU PINANG, 19 Januari 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Inovasi Komuniti (CIC) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) Malaysia dan tenaga kepakaran USM melaksanakan Projek Ternakan Kelulut (Trigona Bee Farm) bersama komuniti di Kampung Teloi Tua, Sik, Kedah untuk mendapatkan Madu Kelulut yang boleh dikomersialkan.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, idea untuk program ini lahir hasil perbincangan bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) Dato’ Redza Rafiq Abdul Razak dan pembentangan telah dibuat kepada kepada Y.A.B Perdana Menteri.

“Idea untuk perlaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan pendapatan peserta-peserta program ini dengan menggabungkan kepakaran universiti serta agensi-agensi terlibat yang lain dalam program yang berorientasikan penghasilkan produk,” kata Omar.

IMG 20160117 WA0004

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak program ini bersama pensyarah-pensyarah dan pegawai dari USM dan NCIA yang terlibat baru-baru ini.

Peserta program ini terdiri daripada 15 orang ahli dari senarai E-Kasih, satu inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu masyarakat keluarga miskin dan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.

Setiap peserta diberikan lima buah sarang bernilai RM1,200 setiap satu serta diberikan latihan asas ternakan kelulut dan pengendalian madu, latihan menanam tumbuhan makanan kelulut, latihan mengenal dan mengatasi ancaman kepada kelulut dan latihan memecah koloni.

IMG 20160117 WA0008

Antara ahli akademik USM yang terlibat adalah Pengarah Pusat Racun Negara, Profesor Madya Razak Lajis yang membantu mengadakan ujian toksifikasi dan keaslian madu, Pensyarah PP Pengurusan Mohd Yusoff Zainun Hamzah dan Mohd Shafie Ariffin  yang menasihati  peserta dalam rancangan keusahawanan serta merancang strategi pemasaran termasuk penjenamaan dan rekabentuk pembungkusan  serta Pensyarah  Neurologi, PP Sains Kesihatan, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa yang membantu memantau dan berkongsi kepakaran menternak kelulut berdasarkan perumah MUSTAFA-Hive yang telah dipatenkan.

Pengarah Bahagian Sosial Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA), Fauzan Ismail menjelaskan, melalui program berimpak sebegini, komuniti yang terlibat akan mempunyai kepakaran yang tinggi dari aspek inovasi berkaitan penternakan kelulut sebagai pemangkin kepada projek-projek penternakan kelulut di sekitar kawasan Sik dan juga di negeri  Kedah seluruhnya.

IMG 20160117 WA0013


 
Bagi Pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Prof. Madya Dr. Md Azman PKM Seeni Mohamed, madu kelulut juga penting untuk perubatan dan perlu disediakan di kampung supaya mempunyai nilai perubatan bagi kegunaan sistem pertahanan badan atau mencegah dari penyakit.

Penyelaras CIC, Badrol Hisham Mohd Nowani pula memberitahu, program ini sesuai dengan slogan merintis inovasi, menyatukan komuniti kerana CIC adalah perintis pembangunan inovasi dan memberi nilai tambah pada inovasi yang terdapat dalam komuniti dan menyatukan komuniti untuk sama-sama berusaha menjayakan projek yang diusahakan dan seterusnya mengembangkan lagi projek hingga ke tahap komuniti industri dan bebas kemiskinan.
 
Konsep CIC adalah menjadikan inovasi sosial dari komuniti khususnya kekuatan yang belum diterokai dan bermanfaat serta berpotensi yang diketengahkan.

Pihak CIC mengenalpasti pakar dalam kalangan ahli akademik atau pun agensi luar untuk berperanan menjadi pemangkin, memantap dan memberi inspirasi untuk mengembangkan dan menggalakkan lagi inovasi sosial yang telah dimulakan oleh komuniti.

Pada akhirnya hasilnya akan mampu memberi manfaat yang lebih besar kepada keseluruhan komuniti  dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1663

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024