DBP TERBITKAN BUKU HASIL KARYA PENSYARAH PPPJJ USM
PULAU PINANG, 19 Januari 2016 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengorak langkah menjalinkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menerbitkan buku-buku hasil karya pensyarahnya.
Dekannya, Profesor Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi berkata, PPPJJ USM amat berbesar hati atas kerjasama yang ditunjukkan oleh DBP dalam menjalinkan kerjasama untuk memasarkan buku-buku ini kepada masyarakat.
“Dengan adanya penerbitan buku-buku ini diharap dapat menyuntik semangat dan memotivasikan setiap pensyarah untuk terus menulis dan menyumbang kepada masyarakat melalui hasil penulisan mereka,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, kerjasama di antara PPJJJ USM dan DBP bukanlah kali pertama diadakan, malah DBP sebelum ini menerbitkan buku yang berjudul Siri Modul Jarak Jauh yang telah diguna pakai oleh pelajar-pelajar PPPJJ USM kini.
“Pada hari ini pihak DBP telah menerbitkan lima buah buku yang pertama yang akan diteruskan lagi selepas ini dengan beberapa buah lagi buku yang diharapkan dapat menghasilkan lebih banyak pada masa hadapan untuk menaikkan nama penulis-penulis dari USM dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Buku Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Mustafa Fadzil melancarkan lima buah buku yang bertajuk Lambaian Menara Gading, Membina Usahawan Bersepadu, Ibu Bapa dalam Pendidikan Anak di Sekolah, Maulud Jawi Sebagai Tradisi Kesenian Melayu dan Manusia daripada Perspektif Islam.
Pada majlis yang sama turut diadakan penganugerahan hadiah kepujian dan sijil dekan peringkat pusat pengajian bersempena Kursus Intensif PPPJJ USM yang akan berlangsung dari 19 Januari sehingga 7 Februari ini melibatkan seramai 7,000 orang pelajar PPPJJ.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1105