USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KLE INDIA BANTU BERI VAKSIN POLIO KEPADA MASYARAKAT INDIA

IMG 20160117 WA0014

PULAU PINANG, 19 Januari 2016 - Seramai 40 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti Program Perubatan Antarabangsa USM-Karnataka Lingayat Education (KLE) di India mengikuti program memberikan vaksin polio kepada ratusan masyarakat India di kawasan sekitar Belgaum, India baru-baru ini.

Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyambut baik usaha ini dan menganggapkan sebagai pendedahan penting pelajar USM dalam komuniti terpinggir di luar negara.

“Usaha ini menunjukkan bahawa para pelajar USM berkongsi ilmu pengetahuan dengan masyarakat di mana sahaja di dunia ini,” kata Omar.

Tegasnya usaha ini memperkukuhkan USM sebagai universiti global yang disokong melalui aktiviti pelajar biar di mana pun mereka berada.

IMG 20160117 WA0016

 

“Saya sangat bangga dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan dengan memberikan suntikan vaksin polio di tempat-tempat awam seperti perhentian bas, kawasan perumahan dan dewan-dewan orang ramai walaupun bukan di negara sendiri,” kata Omar yang menyambut baik program sebegini dan berharap akan diteruskan pada masa hadapan.

Menurut Timbalan Dekan (USM-KLE), Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamaruddin Jaalam, penglibatan pelajar dalam program seperti ini memberikan peluang kepada mereka untuk membantu masyarakat India yang kebanyakannya miskin dan tidak mampu untuk mendapatkan vaksin tersebut.

“Program ini mula dijalankan pada awal tahun ini oleh pengamal perubatan di seluruh negara India bagi menyokong program ‘Pulse Polio Day’,” kata Kamaruddin yang turut turun padang bersama beberapa orang pensyarah lagi dari Jabatan Perubatan Keluarga.

“Alhamdulillah, masyarakat setempat sangat menghargai usaha para pelajar ini yang menjalankan program ini selama lebih tiga hari,” tambah Kamaruddin.

IMG 20160117 WA0015

Suntikan tersebut diberikan kepada kanak-kanak yang berusia kurang daripada lima tahun dan mereka ini ditanda dengan dakwat kekal yang menunjukkan telah menerima suntikan tersebut. Program ini adalah satu usaha menjadikan India sebuah negara yang bebas daripada penyakit polio yang boleh menyebabkan kelumpuhan.

Penyakit Polio atau Poliomielitis berlaku disebabkan Poliovirus (PV) yang menjadi ejen pembawa penyakit yang masuk ke badan manusia melalui mulut dan mencemarkan usus malah juga mampu memasuki saluran darah dan ke saraf pusat menyebabkan kelemahan otot dan kelumpuhan.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1623

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024