USM UNIVERSITI PERTAMA MALAYSIA DIIKTIRAF IFT CHICAGO
PULAU PINANG, 19 Januari 2016 - Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditawarkan melalui Pusat Pengajian Teknologi Industri Malaysia sejak tahun 1972 kini diiktiraf oleh Institute of Food Technologists Chicago (IFT) Amerika Syarikat dan membuka ruang untuk para pelajarnya mendapat biasiswa mengikuti pengajian di sana.
“USM satu-satunya universiti di Malaysia yang diberi pengiktirafan sejak awal tahun 2016 untuk 5 tahun akan datang yang membolehkan para pelajarnya memohon terus pelbagai biasiswa yang ditawarkan dan mengikuti pengajian dalam bidang berkenaan di sana tanpa perlu tapisan lanjut,” kata Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri Profesor Dr. Azhar Mat Easa.
Dengan pengiktirafan ini, para pelajar USM kini layak untuk mengikuti “Undergraduate Feeding Tomorrow Scholarship’’ berdasarkan kelulusan oleh IFT Higher Education Review Board yang mengiktiraf universiti-universiti di seluruh dunia yang menawarkan program Teknologi dan Sains Makanan yang mencapai piawaian yang ditetapkannya.
USM menyertai lebih 60 universiti di seluruh dunia yang menerima pengiktirafan dari IFT yang ditubuhkan pada tahun 1939 menggabungkan kepakaran dari 90 buah negara dunia untuk berkolaborasi dan mentransformasikan pengetahuan saintifik kepada penyelesaian inovatif untuk faedah manusia sejagat.
USM adalah merupakan universiti pertama Malaysia yang menawarkan pengajian ijazah melalui Program Teknologi Makanan dengan siswazah yang dikeluarkan lebih daripada 2,000 orang dan enrolmen semasa sekitar 160 orang pelajar.
“Usaha untuk mendapatkan pengiktirafan ini bermula sejak tahun lalu sebagai sebahagian daripada program pengantarabangsaan APEX Fasa 2 USM dengan membawa perunding daripada Hawaii untuk membantu Pusat Pengajian Teknologi Industri dan Pusat Pengajian Sains Kimia USM dan hasilnya amat memberangsangkan dalam membolehkan pelajar-pelajar kita diterima di peringkat antarabangsa,” kata Azhar.
Tambahnya lagi, kejayaan ini juga diharapkan dapat membuka laluan bagi lebih ramai pelajar dari luar negara mengikuti pengajian ijazah pertama dalam bidang Teknologi Makanan di USM pada masa hadapan.
Maklumat lanjut, layari http://www.indtech.usm.my/programme/undergraduate/food-technology
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1905