PAKAR TEKNOLOGI PENGAJARAN USM HASIL MODEL REKA BENTUK PENGAJARAN ABAD KE-21
PULAU PINANG, 19 Januari 2016 – Pakar Teknologi Pengajaran Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Balakrishnan Muniandy, 60, bersama-sama tokoh pendidik cemerlang Dr. Ismail Zain telah meneroka model baharu reka bentuk pengajaran yang sesuai dengan Abad Ke-21 yang dijalankan projek rintisnya sekarang ini untuk kegunaan sekolah-sekolah di negara ini.
Bertugas di Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) USM, Balakrishnan berharap usaha ini dapat dikongsi oleh para guru di seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mereka melalui perancangan yang lebih sistematik dan tepat.
“Selama ini kita menggunakan model dari luar negara untuk tujuan tersebut yang tentu sahaja berbeza dari segi latar budaya dan kebolehan pelajar dan kini kami menyediakan model ASIE ini yang lebih mudah, praktikal, integratif serta mengintegrasi semua aspek, kemahiran, isi kandungan dan latar belakang pelajar yang diambil kira dalam pengajaran,” kata Balakrishnan.
Model ASIE bermakna “Analyse, Strategise, Implement and Evaluate” yang mula dibina sejak tahun lalu dan dijangka dapat dilancarkan sepenuhnya pada hujung tahun ini setelah dilakukan ujian rintisnya seperti yang dilakukan di Batu Pahat Johor baru-baru ini.
“Ketika dibawa untuk pembentangan di luar negara, hal ini mendapat sambutan baik dan dikatakan berupaya memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran abad ini dan dianggap sesuai dengan negara ini,” tambahnya lagi.
Model ini juga telah menyediakan prototaip atas talian yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk memasukkan segala maklumat yang perlu membantu memudahkan mereka membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“Saya berharap usaha yang dibuat bersama-sama Dr. Ismail Zain ini dapat membantu guru-guru dan pendidik dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan prinsip-prinsip yang sejajar dengan keperluan abad ke-21 yang lebih mencabar ini,” katanya lagi.
Balakrishnan mempunyai pengalaman luas dalam pendidikan di negara ini, pernah bertugas sebagai guru di sekolah-sekolah di Kelantan dan Kedah, bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan kemudiannya menjadi pensyarah di dua buah Institut Pendidikan Guru sebelum menyertai USM pada tahun 2006.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1536