STROK HABA BOLEH MENGUNDANG KOMPLIKASI KEPADA SISTEM SARAF OTAK
PULAU PINANG, 18 Januari 2016 - Kenyataan Media oleh Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Datuk Seri Panglima Madius Tangau pada 8 Januari 2016 mengatakan cuaca panas dan kering yang kini berlaku di negeri Perlis dan Kedah dijangka akan turut dirasai seluruh Semenanjung Malaysia pada penghujung Januari hingga Mac 2016 dan keadaan yang sama dijangka turut berlaku di Sabah dan Bahagian Limbang dan Miri di Sarawak.
Pengarah Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Normala Abdul Wahid mengingatkan agar semua warga USM mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana orang ramai terdedah kepada kemungkinan mengalami Strok Haba kesan daripada kepanasan melampau ini.
Menurut Normala, keadaan ini berlaku disebabkan oleh kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016 dan Fenomena El Nino kuat ini dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20% – 60% dan kenaikan suhu sekitar 0.5°C hingga 2.0°C berbanding dengan biasa.
“Sehubungan dengan ini, bagi mengelak daripada mengalami Strok Haba ‘Heat Stroke’, Pusat Sejahtera USM ingin menasihati Warga Kampus supaya mengurangkan aktiviti luar semasa cuaca panas dan banyakkan minum air dalam kuantiti sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari,” katanya.
Jelasnya lagi, Strok Haba adalah satu bentuk kecederaan haba yang paling serius dan dianggap sebagai kecemasan perubatan apabila suhu badan meningkat melebihi 40.50C berbanding suhu normal 37.00C dan keadaan Strok Haba berlaku apabila seseorang itu terdedah kepada suhu tinggi berpanjangan serta dehidrasi yang membawa kepada kegagalan sistem kawalan suhu badan.
“Jika rakan anda mengalami strok haba, hubungi ambulan dengan segera dan beri bantuan kecemasan awal sehingga paramedik tiba kerana Strok Haba boleh menyebabkan komplikasi kepada sistem saraf otak yang menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian,” nasihatnya.
Normala juga memberitahu cara-cara bantuan kecemasan awal yang boleh diberikan jika mengalami keadaan ini ialah dengan mengalihkan pesakit ke persekitaran yang teduh dan berhawa dingin atau sekurang-kurangnya tempat yang dingin, tanggalkan jaket/kot atau apa-apa jenis pakaian panas yang dipakai oleh pesakit, lapkan anggota badan pesakit dengan air dengan menggunakan span atau tuala basah, letakkan pek ais di bahagian ketiak, pangkal paha, leher dan belakang mangsa kerana kawasan-kawasan ini kaya dengan saluran darah berhampiran dengan kulit supaya penyejukan kawasan-kawasan ini boleh mengurangkan suhu badan dengan lebih cepat dan jika boleh, beri pesakit berendam dalam tab air untuk menurunkan tekanan haba.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1547