PERJALANAN INI BUKAN MUDAH – AHMAD FARHAN
PULAU PINANG, 18 Jan. 2016 – Pengarah merangkap Penolong Naib Canselor baharu Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah menyifatkan amanah baru yang digalasnya adalah satu permulaan perjalanan yang bukan mudah.
Apatah lagi jelasnya, dengan kekangan semasa serta keadaan ekonomi yang tidak menentu memberikan cabaran yang amat getir untuk ditempuh. Namun katanya, ia bukanlah pematah semangat untuk terus maju, sebaliknya cabaran yang datang perlu ditangani dengan strategi yang tepat dan efisien.
“Sememangnya cabaran besar itu wujud namun kita perlu menggerakkan kapasiti, kompetensi serta peluang yang ada untuk menanganinya dan saya yakin dengan kebersamaan warga kampus ini kita akan dapat mengharunginya dengan jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual sejurus tamat Perutusan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang bertemakan APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global di kampus kejuruteraan baru-baru ini.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, dekan-dekan dan pegawai-pegawai utama Universiti yang lain.
Tambah Ahmad Farhan, beliau yang kini dalam fasa 100 hari pertama menggalas tugas sedang mendalami serta meneliti pelbagai perkara serta isu-isu yang sedia ada yang perlu diselesaikan.
“Setelah itu saya akan mengatur strategi dan menggunakan peluang-peluang yang telah dikenalpasti untuk memperkasakan kampus kejuruteraan selaras dengan cabaran yang diletakkan oleh Universiti.
“Saya amat percaya dengan konsep keterlibatan semua pihak dalam menjalankan urusan dan berharap akan mendapat kerjasama semua pihak untuk mencapai hasrat yang kita idamkan,” katanya lagi.
Beliau turut berdoa agar diberi kekuatan untuk meneraju kampus kejuruteraan dan turut menyifatkan dengan kebijaksaan dan kekuatan akan mampu membawa USM ke mercu kejayaan, sekaligus memacu Universiti bertaraf global.
Ahmad Farhan memulakan tugasnya sejak 1 Januari 2016 menggantikan Mantan Pengarah, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak yang kini diantik meneraju jawatan Pengarah di Pusat Penyelidikan Sains & Kejuruteraan (SERC).
Teks: Marziana Mohamed Alias
Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 985