USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GUNA IDEA BANK TANGANI CABARAN 2016

IMG 8360

PULAU PINANG,18 Januari 2015 – Penubuhan Bank Idea yang menjadi platform bagi warga Universiti Sains Malaysia (USM) mencetuskan idea-idea bernas untuk pembangunan Universiti diharapkan dapat menjadi salah satu medium yang membantu Universiti menghadapi cabaran 2016.

Ahli Rintis Bank Idea USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, tahun ini Universiti berdepan cabaran lebih besar khususnya dalam menggembleng sumber yang terhad untuk memacu kecemerlangan.

Justeru ujarnya, Bank Idea dilihat adalah antara medium yang boleh digunakan bagi Universiti mendapatkan idea-idea yang dapat membantu Universiti keluar dari kemelut atau cabaran yang dihadapi.

“Kita telah menyediakan platform dan berharap warga USM dapat menggunakannya bukan hanya untuk membincangkan perkara-perkara remeh sebaliknya bagi memberikan buah fikiran, alternatif dan penambahbaikan yang bernas untuk Universiti terus cemerlang,” katanya.

IMG 8366

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Rintis Bank Idea, Izam Fairus Kamaruddin pula menegaskan, ada beberapa perkara yang dikenalpasti akan dilakukan bagi menambah baik keberkesanan Bank Idea.

Antaranya jelas beliau, pihaknya turut melihat kemungkinan untuk memberikan mata CPD atau CSD kepada kakitangan serta pelajar yang dilihat berupaya menjana idea-idea bernas untuk kemajuan dan kebaikan Universiti dan warganya.

“Kita sedang melihat beberapa perkara untuk menambah baik Bank Idea. Pemberian mata Continuous Performance Development (CPD) bagi kakitangan dan Continuous Student Development (CSD) untuk pelajar adalah antara yang dikenalpasti dan berupaya dilaksanakan.

“Staf atau pelajar boleh menggunakan Bank Idea untuk menjana mata CPD atau CSD berbanding perlu menghadiri kursus-kursus atau sebagainya. Namun dari segi pemarkahannya kita akan berbincang dengan lebih lanjut bersama pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias

Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin

  • Created on .
  • Hits: 1293

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024