USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MGTF USM ANJUR PAMERAN ‘WE WERE THERE’ KARYA PELAJAR ANTARABANGSA

IMG 0026fg

PULAU PINANG, 15 Januari 2016 – Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM) kini sedang menganjurkan pameran bertajuk 'We Were There', bermula dari 11 sehingga 30 Januari 2016.

Menurut Pengarah MGTF USM, Zolkurnian Hassan, hasil seni yang dipamerkan kali ini dibawa khas oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Pusat Pengajian Seni (PPS) USM iaitu Farhad Fakhrian dan Elham Shafaei dari Iran.

“Sebanyak 100 karya kreatif ini menggambarkan sisi kehidupan mereka antaranya Farhad Fakhrian cuba menonjolkan seni fotografi perjalanan akhir ayahnya selepas kematian manakala Elham Shafaei pula tentang kisah kehidupan seorang wanita yang penuh tragis dan drama,” katanya.

IMG 0030vh

Tambah Zolkurnian lagi, idea untuk mengadakan pameran ini tercetus apabila Dekan PPS USM, Mohamad Omar Bidin memohon supaya mengetengahkan pelajar-pelajar yang berbakat supaya karya mereka dapat dipamerkan di MGTF.

“Penganjuran pameran ini juga membuktikan yang USM khususnya MGTF dan PPS mampu menyediakan ruang dan peluang kepada lebih banyak penglibatan pameran antarabangsa oleh pelukis, pereka dan pensyarah yang terkenal dalam pelbagai bidang seni,” jelasnya lagi.

Di samping itu juga, dengan adanya pameran seperti ini, ianya dapat menggalakkan penglibatan para pelajar untuk menerbitkan karya mereka yang mempunyai nilai untuk dipertontonkan kepada masyarakat umum.

IMG 0017c

Sementara itu, Elham Shafaei berkata, setiap karya seninya 'datang' dari hatinya. Setiap lukisan yang dihasilkan menceritakan kisah yang berlaku pada setiap wanita.

“Pameran ini akan membawa anda untuk menyelami perasaan dan jiwa setiap wanita,” katanya yang kini menuntut di tahun dua Doktor Falsafah (PhD).

Bagi Farhad Fakhrian pula, setiap gambar yang dipamerkan menceritakan tentang perjalanan akhir ayahnya selepas meninggal dunia sehinggalah selesai proses pengebumian.

“Saya terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba, perasaan sedih itulah yang membawa saya untuk mengabadikan kenangan terakhir bersama ayah melalui karya-karya seni gambar ini, semoga memori ini akan tersimpan selamanya di hati,” tambah Farhad yang sudah berada di Malaysia sejak tahun 2011 dan merupakan pelajar tahun akhir Doktor Falsafah (PhD).

Untuk maklumat lanjut mengenai pameran ‘We Were There' yang bermula dari 11 sehingga 30 Januari ini, orang ramai boleh menghubungi pihak MGTF USM di talian 04-653 4786 / 04-653 4789.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 946

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024