USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KECEMERLANGAN RENTAS BIDANG BUKTI USM BERCIRIKAN UNIVERSITI GLOBAL

IMG 0295

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Kecemerlangan dan kegemilangan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pelbagai bidang terutamanya penyelidikan dan kolaborasi bertaraf antarabangsa membuktikan bahawa USM mempunyai ciri-ciri Universiti Global (UG).

Kejayaan yang diperoleh sehingga kini mampu memperkasakan usaha sedia ada bagi membangunkan inisiatif baharu yang memerlukan penelitian sewajarnya bagi pemantapan  ke arah UG pada masa hadapan.

Pada Perutusan Naib Canselor 2016, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata kejayaan memperkasakan USM APEX sebagai UG menunjukkan keupayaan USM yang mempunyai ciri-ciri UG.

Tegasnya, cabaran kini bagaimana USM ditarafkan secara menyeluruh memandangkan beberapa asas penarafan kuantitatif berasaskan ranking digunakan sebagai pengukur dalam penarafan institusi dan juga bidang keberhasilan.

“Lapan ciri yang digariskan sebagai sebuah Universiti Global adalah misi global, pengeluaran/penghasilan ilmu (knowledge), fungsi baru ahli fakulti, pembiayaan pelbagai, perhubungan pelbagai sektoral, pengambilan worldwide, organisasi universiti yang kompleks dan kolaborasi global.”

Tambah beliau jika dilihat dari ciri-ciri ini, hakikatnya USM telah menepati kriteria yang diinginkan apatah lagi dengan pembuktian pelbagai kecemerlangan yang dikecapi sejak kebelakangan ini.

IMG 0306ol

Rekod data USM menunjukkan para penyelidik dan ahli akademik USM telah menghasilkan sebanyak 20,814 penerbitan termasuk penerbitan  bersama ahli-ahali akademik dari 127 buah negara dunia dari India, Arab Saudi, United Kingdom, Jepun, Amerika Syarikat, Australia, Iran, Indonesia,  Iraq,  Bangladesh, Pakistan, Thailand,  Republik Rakyat China, Mesir, Perancis, Singapura, Jerman, Palestin, Jordan, Kanada, Korea Selatan,  New Zealand, Sudan, Taiwan, Sepanyol, Qatar, Italy, Yemen, Libya, Republik Ireland, Turki, Belanda, Peru, Vietnam, Denmark, Switzerland, Ghana, Mexico dan banyak lagi negara lain.

“Manakala sepanjang tempoh 2011 – 2015 sebanyak 51 hasil produk penyelidikan USM dipatenkan di lebih 15 buah negara termasuk Singapura, Thailand, Jerman, Indonesia, Turki, United Kingdom, Australia, Jepun, Rusia, Switzeland, Amerika Syarikat, Republik Rakyat China, Korea Selatan dan Malaysia serta beberapa buah negara Afrika.”

Turut hadir ke majlis adalah barisan pengurusan tertinggi USM iaitu ahli Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Datuk Dr Omar Shawkataly, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama Universiti dan warga kampus.

IMG 0248

Selain itu, jelas beliau USM juga menerima pengiktirafan tinggi di dalam negara yang menunjukkan pencapaian cemerlang di pentas dunia.

“Dua daripada empat orang ahli akademik Malaysia yang diiktiraf sebagai yang mempunyai Minda Saintifik Thomson Reuters (yang dianalisis berdasarkan data sitasi lebih 11 tahun dalam penerbitan berimpak tinggi) paling berpengaruh dunia adalah dari USM.

“Manakala tujuh dari empat belas orang yang diktiraf sebagai Rising Stars dari Malaysia  diberikan atas usaha penyelidik yang berjaya menghasilkan artikel yang menerima sitasi penerbitan 1% tertinggi dunia, dengan merujuk kepada pangkalan data Web of Science (WoS) Thomas Reuters dan Incites  adalah dari USM," kata Naib Canselor. 

“26 penyelidik USM diiktiraf sebagai Top Research Scientific Malaysia dari Akademi Sains Malaysia yang melibatkan 110 orang saintis di negara ini manakala tiga orang ahli akademik USM menerima Anugerah Akademik Negara yang diadakan pada tahun 2015," kata Omar.

Melalui kolaborasi global, kejayaan USM berjaya menempatkan diri dalam kalangan komuniti antarabangsa ternama termasuk dengan Institut Penyelidikan RIKEN dan Toyohashi University of Technology Jepun, Yale, USA, Bath University, UK, Czech Republic & Lorraine University, Eropah dan universiti-universiti di Timur Tengah.

Jelas Omar lagi, di antara tahun 2012 – 2015, USM mempunyai kolaborasi antarabangsa yang melibatkan lebih dari 61 buah negara, perjanjian persefahaman (MoA) aktif dengan kira-kira 273 institusi di seluruh dunia, memorandum persefahaman (MoU) dengan  111 buah institusi dan 9 Non-Disclosure Agreement (NDA) dengan 9 institusi seluruh dunia. USM kini lebih menekankan kepada perjanjian persefahaman untuk menggerakkan segera setiap usaha yang dibuat.

“Kita mempunyai banyak lagi kejayaan yang tidak disebutkan pada peringkat global, oleh itu tenaga-tenaga kerja dari peringkat atas sehinggalah peringkat bawah haruslah berfikiran global bagi bersama-sama mencapai status UG ini," tambah Naib Canselor bersama-sama barisan pegawai tertinggi telah melancarkan Pelan Pembangunan APEX 2020, MOOC@USM dan Buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang.

Naib Canselor turut menyeru agar semua peringkat staf mampu menyumbang khidmat terbaik buat universiti kerana setiapnya mempunyai peranan besar buat universiti selari dengan misi dan visi universiti bagi mencapai hasrat sebuah universiti bertaraf global.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1544

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024