USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR PERLU BERFIKIRAN GLOBAL DALAM MEREALISASIKAN UG

IMG 0220l

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Pelajar sebagai pemegang taruh yang amat penting kepada universiti perlu memiliki set minda global atau berfikiran global ke arah merealisasikan hasrat Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebuah Universiti Global (UG).

Menurut Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, pelajar perlu terkehadapan dengan menguasai nilai-nilai sejagat, universal dan berdaya saing di pentas dunia serta membentuk keupayaan seawal mungkin dalam menghadapi dunia global masa hadapan.

“Malah para pelajar tidak boleh lagi mengharapkan untuk menjadi juara kampung dan berada di gelanggang sedia ada, tetapi perlu keluar daripada zon selesa dan menyiapkan diri dengan segala keperluan menghadapi masa hadapan yang penuh dengan pelbagai cabaran,” kata Naib Canselor.

Beliau menjelaskan hal ini dalam Perutusan Tahunan Naib Canselor 2016 kepada warga USM di Dewan Tuanku Syed Putra hari ini yang bertajuk APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global.

Menurut beliau lagi, pelajar merupakan aset dan sumber yang amat penting untuk menjaya dan menggerakkan seluruh misi dan visi serta USM APEX 2020 yang menjadi hala tuju masa hadapan universiti.

“Maka sebab itulah USM inginkan setiap pelajarnya benar-benar menghayati dan memiliki konsep HEBAT yang dilaksanakan yang bermakna ‘Holistic’, ‘Entrepreneurial’ atau mempunyai kekuatan jiwa usahawan, ‘Balanced’ atau seimbang, ‘Articulate’ dan ‘Thinker’ atau pemikir.

Pelajar dan siswazah HEBAT diharapkan akan dapat memenuhi keperluan negara dan antarabangsa, dapat berfikir secara global, holistik, memiliki ‘sense of belonging’ terhadap universiti, masyarakat dan negara serta mempunyai jati diri yang kukuh melalui pelbagai mekanisme dan inisiatif berstrategi,” katanya.

Naib Canselor juga menjelaskan bahawa dalam era globalisasi dan teknologi serba canggih masa kini, pembangunan bakat pelajar perlu diberi perhatian yang serius dalam menghasilkan pelajar yang serba boleh, berkemahiran tinggi, berkepimpinan, inovatif dan kreatif serta tinggi keupayaan intelektual dan komunikasi.

“Dalam konteks ini juga, USM telah mengamalkan konsep penghakupayaan pelajar termasuklah melalui aktiviti pelajar, di mana pelajar diberi peluang yang luas untuk mendapat ilmu pengetahuan dan amalan-amalan baik dengan mereka sendiri menerajui projek dan aktiviti yang dijalankan yang bukan sahaja memanfaatkan pelajar sendiri, tetapi juga warga kampus dan masyarakat luar,” katanya.

Naib Canselor turut menghuraikan enam mekanisme yang telah dilaksanakan dengan begitu berjaya sekali dalam menggerakkan penghakupayaan pelajar berjangkauan masa hadapan iaitu Dewan Perundingan Pelajar (Parlimen Mahasiswa); Kor Sukarelawan; Program Kampus Sejahtera (Healthy Campus); Student Based Initiatives (SBI); Inisiatif Keusahawanan dan juga program flagship yang dianjurkan oleh pelajar seperti Ekspo Konvokesyen, Novel Research and Innovation Competition (NRIC) dan Pesta Hoki Antarabangsa USM Pulau Pinang.

“Apatah lagi dalam keadaan di mana USM memberikan hak upaya yang lebih luas kepada pelajar, termasuk kemungkinan menyertai proses membuat keputusan dalam hal-hal dasar, para pelajar perlu sentiasa berfikiran terbuka dan keluar dari kepompong sedia ada dengan menguasai juga seluruh nilai dan budaya global dengan melihat perspektif yang melihat kepelbagaian budaya sebagai satu kekuatan dan turut menguasai pelbagai kaedah dan alat berkomunikasi, kepelbagaian bahasa, cara hidup dan budaya hidup global.

“USM mengharapkan dapat membentuk pelajar yang melihat dunia yang luas terbentang sebagai gelanggang sebenar untuk meneruskan kelangsungan masa hadapan tanpa mengenepikan kepentingan jati diri, sosio budaya, nilai dan adat resam serta pelbagai institusi yang menjadikan kesatuan rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada agama dan adab, etika, integriti dan keseluruhan nilai murni yang akan melestarikan negara dalam acuan sendiri,” jelas Naib Canselor.

Tambah Naib Canselor, keseriusan USM dalam melaksanakan agenda pelajar dan siswazah global ini dapat dilihat dalam Program APEX Scholar sebagai sebahagian daripada program APEX yang mensasarkan usaha untuk melahirkan siswazah holistik dengan berfokuskan kepada pelajar yang berpotensi tahap tinggi dalam akademik dan pelbagai bidang lain, mempunyai minda global dan paling utama mempunyai jati diri untuk membangunkan negara atau ‘nation builders’.

“Program APEX Scholar akan dijajarkan bersama-sama flagship global USM yang lain misalnya melalui  internship, sangkutan atau ‘semester abroad’ di luar negara melalui kerjasama dengan universiti-universiti yang dikenalpasti termasuk dari Thailand, Jepun, Australia dan beberapa negara lain terutamanya ahli-ahli Asia Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) serta universiti yang mempunyai hubungan dengan USM melalui MoU dan MoA,” katanya.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Pendaftar, Bendahari, pegawai-pegawai utama universiti serta beberapa kenamaan luar.

Teks: Tan Ewe Hoe / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2625

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024