USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH USAHA LIBATSAMA ALUMNI JAYAKAN UG

IMG 0288k

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 - Statistik yang ada di mana-mana universiti di dunia menunjukkan bahawa keupayaan untuk menarik penyertaan 5 – 10% dari alumninya untuk kembali bersama-sama universiti adalah sudah cukup baik. Dengan bilangan yang melebihi 150,000 orang alumni Universiti Sains Malaysia (USM) sekarang ini, tentu sahaja akan memberi faedah yang besar kepada universiti menjayakan Universiti Global (UG) dengan kembali memberikan sumbangan bukan sahaja kepada universiti tetapi komuniti seluruhnya dengan cara apa sahaja yang bersesuaian di seluruh dunia.

“Perkara utama yang perlu dilakukan sekarang ialah melihat kembali profil alumni USM untuk melihat siapa dan di mana mereka berada supaya lebih berfokus dengan segmentasi alumni yang jelas serta dilihat dalam pelbagai kelompok yang berbeza, keupayaan yang berlainan dan kemampuan yang ada – daripada ahli akademik sehinggalah kepada ahli korporat dan sukarelawan yang menumpukan kepada usaha kebajikan dan khidmat sosial yang berterusan,” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Dengan cara ini katanya, dapat memanfaatkan kekuatan mereka sesuai dengan minat dan kecenderungan  serta melibatkan secara langsung dalam banyak aktiviti yang mudah disertai tetapi ada impaknya tersendiri, misalnya dengan menggemblengkan kepakaran alumni kita dalam bidang kesihatan mental untuk membantu masyarakat seluruhnya, bukan sahaja di sini tetapi di seluruh dunia.

“Bagaimana kita dapat bangunkan kekuatan pasukan sukarelawan alumni yang cekap dan bertaraf dunia dan menggerakkan usaha membantu ketika memerlukan tenaga dalam menangani isu bencana di mana sahaja, malah membantu dalam pelbagai usaha libatsama komuniti di seluruh dunia,” kata Omar.

Tegasnya, USM akan berusaha memastikan para alumninya dapat bersama-sama universiti dan komuniti dalam membangunkan kapasiti yang ada untuk pembangunan negara, bekerja bersama-sama dan memanfaatkan kepelbagaian kekuatan yang ada untuk kembali berbakti, sama ada kepada universiti mahu pun komuniti dan dunia seluruhnya,” kata Omar.

IMG 0252l

Tambahnya, contoh yang dekat ialah bagaimana untuk mereka yang berjaya dalam perniagaan menjadi tempat melatih dan membudayakan pelajar yang sedia ada untuk memasuki dunia niaga dan keusahawanan dengan mewujudkan dan mempromosikan budaya bersama-sama memberi kepada masyarakat dan dunia seluruhnya.

“Sebagai sebuah UG, kita perlu melihat bagaimana dapat mengupayakan dan memperkasakan para alumni untuk memanfaatkan kekuatan dan kemampuan untuk membantu mereka yang memerlukan di mana sahaja apatah lagi kepada universiti sendiri,” tegas Omar.

Naib Canselor mencadangkan untuk semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) mewujudkan inisiatif alumni global dengan memulakan usaha untuk membawa mereka kembali ke universiti dan mewujudkan pelbagai tabung dan dana mahu pun bentuk penyertaan lain dalam kalangan alumni untuk faedah pelajar termasuklah dalam kalangan alumni ijazah tinggi yang berada di seluruh dunia. 

“Sampai masanya juga PTJ mengambil inisiatif membawa mereka kembali dan mengadakan aktiviti-aktiviti tahunan yang dapat mendekatkan diri dengan para alumni misalnya melalui persidangan dan perjumpaan secara berkala,” kata Omar.

Perkara ini dinyatakan dalam Perutusan Naib Canselor 2016: APEX 2020 – Merealisasikan Universiti Global dalam majlis yang dihadiri lebih 1,000 orang warga USM di sini hari ini.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1195

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024