USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UG: PERANAN PEMEGANG TARUH PENTING

IMG 0241

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Paradigma baharu pemegang taruh dalam menjayakan sesebuah Universiti Global (UG) penting.

Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), pemegang taruh atau stakeholders adalah mereka yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung dalam sesebuah organisasi malah mereka  akan menentukan sejauh mana inisiatif yang diambil oleh sesebuah institusi untuk melakukan perubahan dan transformasi dapat digerakkan sebaik mungkin serta juga menentukan sejauh mana kejayaan dapat dikecapi dalam jangka panjang.

Antaranya ialah Lembaga Gabenor Universiti (LGU), ahli-ahli Senat, Pihak Berkuasa, Ahli Akademik, ketua jabatan, pentadbir, staf sokongan, pelajar dan alumni.

“Mereka inilah yang memainkan peranan utama dan penentu kejayaan sebenar dalam menggerakkan agenda transformasi yang dilakukan dengan terlebih dahulu melalui proses pendidikan dan advokasi mahu pun terlibat terus dalam setiap proses kerja yang dihasilkan dengan memahami objektif strategik sesebuah organisasi dan bergerak sebagai satu pasukan secara bersepadu dan saling memahami, bertolak ansur, memberi pandangan dan idea baharu, sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk memastikan usaha yang dibuat dapat dijayakan dengan sebaik mungkin,” kata Omar.

Beliau menjelaskan hal ini dalam Perutusan Tahunan Naib Canselor 2016 kepada warga USM di Dewan Tuanku Syed Putra hari ini yang bertajuk APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global.

“LGU misalnya kini seperti mana penekanan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi perlu bersama-sama memastikan kejayaan proses transformasi universiti dengan melihat kepada pencapaiannya, termasuk dalam membantu membina jaringan kerja kerjasama, berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada dan memastikan misi universiti tercapai, selaras dengan autonomi, pertanggungjawaban dan akauntabiliti yang diberi,” kata Omar.

Begitu juga dengan peranan ahli-ahli Senat Universiti yang  memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju akademik universiti. Mereka kini perlu mengukuhkan diri dengan pengetahuan baharu dengan mengikuti perkembangan semasa  dan masa hadapan pendidikan tinggi seluruh dunia. 

“Mereka kini juga bukan sahaja perlu menguasai nilai-nilai antarabangsa, tetapi mereka sendiri adalah role model global yang sentiasa peka dengan keperluan, perubahan dan permintaan terhadap pendidikan tinggi dan bukan lagi menjadi pemegang taruh yang memastikan setiap prosedur akademik dipatuhi dan diikuti, memastikan kualiti ijazah yang ditawarkan dihormati dan diiktiraf dunia serta melihat dengan terperinci terhadap segala urusan dalam hal-hal akademik, kini keperluannya melangkaui tanggungjawab tersebut,” kata Omar.

Tambahnya, ahli-ahli Senat perlu sentiasa mempunyai idea-idea baharu yang segar dalam pelbagai aspek pendidikan tinggi, memahami kerencaman proses pendidikan tinggi sekarang ini, melihat kepada pelbagai perubahan yang berlaku dalam pelbagai bidang dengan mengemukakan cadangan-cadangan berstrategik dan berupaya menjadikan kita terus relevan, mampu bersaing dan sentiasa diterima di peringkat dunia.

Menurut Omar, ketua-ketua jabatan pula mestilah menjadi role model dalam membangunkan kekuatan seluruh warga dan sumbernya untuk bergerak bukan sahaja pemimpin yang disegani tetapi juga untuk diikuti oleh mereka yang dipimpin, sentiasa peka dengan nilai-nilai yang dibangunkan, berintegriti, berakauntabiliti dan sentiasa melihat jauh ke hadapan.

“Ketua PTJ perlu menggerakkan seluruh tenaga yang ada untuk menerokai peluang yang ada di mana sahaja, membina dan memperkukuhkan jaringan yang ada dan memastikan usaha USM melaksanakan UG akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ketua PTJ sewajarnya sentiasa melihat proses untuk menjayakan usaha ini dengan menyeluruh dan holistik dan melihat warganya termasuk pelajar sebagai aset dan sumber paling utama untuk menjaya dan menggerakkan seluruh misi dan visi serta USM APEX 2020 yang menjadi hala tuju masa hadapan kita,” kata Omar.

Beliau juga berharap ahli-ahli akademik universiti juga memiliki ciri-ciri global malah mereka sendiri adalah pemain global yang dihormati, disegani dan diterima atau diiktiraf sebagai global yang berfikir dan bertindak secara global dengan dunia ilmunya adalah global dan keupayaan peribadinya dalam segenap ruang – kepakaran, komunikasi dan jaringannya adalah pada peringkat global.  Mereka menguasai bahasa global dan mempunyai rakan-rakan kongsi dan kolaborasi yang juga bertaraf dunia.

Naib Canselor turut menggesa agar para pentadbir dan staf sokongan turut memainkan peranan dalam menjayakan UG.  Mereka perlu mempunyai set minda global yang sentiasa mementingkan peningkatan produktiviti dan kecekapan, berpengetahuan tinggi, mematuhi peraturan yang ada, berintegriti dan berakauntabiliti malah juga sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuannya.

“Mereka seharusnya bukan lagi menguasai ilmu pengetahuan dan mementingkan pentadbiran yang kejat serta menguasai teknologi dalam pentadbiran elektronik namun yang penting melangkauinya dengan mempunyai pemikiran yang bersifat ‘intelligence’,” kata Omar.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 13491

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024