USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA EKOSISTEM KECEMERLANGAN P & I

IMG 0232

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan ekosistem untuk kecemerlangan pembangunan Penyelidikan dan Inovasi (P&I) yang telah menyediakan laluan kepada ahli-ahli akademik untuk terus bergerak dalam pelbagai bidang kepakaran merentasi sempadan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, pada masa ini USM menjadi rakan kongsi aktif dengan banyak pihak yang terkemuka di dunia sama ada individu atau pun institusi merentasi bidang yang telah mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak.

“Misalnya, USM mengambil inisiatif mewujudkan Malaysian Research Universities-Thailand Research Universities (MRUN-TRU) Research Consortium selaras dengan pembentukan komuniti ASEAN yang merupakan yang pertama seumpamanya yang menggabungkan para penyelidik universiti-universiti di Malaysia dan Thailand,” tambah Omar.

Jelasnya lagi, ini memberi peluang untuk menerokai potensi kolaborasi penyelidikan bersama secara jangka panjang untuk dikembangkan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Selain dari itu, USM juga mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan seperti Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM yang telah mencapai kejayaan merentasi sempadan dengan pelbagai penemuannya. Antaranya ialah Penyelidikan Arkeologi Sungai Batu, Kedah telah menemukan bukti peleburan besi di tapak Sungai Batu yang bertarikh 535 Sebelum Masihi. Penemuan ini telah menjadikan tamadun Kedah Tua sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara sekaligus menjadikan tapak Sungai Batu itu sebagai salah satu tarikan pelancong bagi tahun melawat Kedah 2016 dengan kerajaan negeri Kedah telah menyumbang sebanyak RM300 ribu untuk menyelenggara kawasan tersebut untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan di negeri tersebut.

PPAG USM juga menjalankan kerjasama saintifik bersama-sama dengan Korea Selatan di mana PPAG USM telah diberi pengiktirafan untuk mempamerkan kebudayaan Paleolitik Malaysia di Festival Prasejarah Jeongok.

Malah, penyelidikan Arkeologi Gandhara Pakistan yang diterajui oleh PPAG USM ini telah mengesahkan kewujudan bukti tapak Buddha di dalam kampus University of Peshawar dan melengkapkan data tamadun Gandhara.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman berkata, kejayaan yang ditonjolkan oleh PPAG USM di peringkat global telah memberikan kedudukan tersendiri sebagai pengiktirafan terhadap usaha yang dibuat oleh USM.

“Kejayaan demi kejayaan yang telah dibuktikan oleh PPAG USM telah menunjukkan satu petanda aras di mana USM telah bersedia ke arah pembentukan Universiti Global,” jelasnya ketika menyampaikan Perutusan Tahunannya yang bertajuk APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global kepada 1,000 orang warga kampus di sini, hari ini.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Pendaftar, Bendahari serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 751

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024