USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMBANGUNAN BAKAT PENTING JAYAKAN UG

IMG 0245h

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Dalam mencapai sasaran sebagai sebuah Universiti Global (UG), Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa memberi perhatian kepada program pembangunan bakat di semua peringkat warga USM.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, dalam konteks USM, pihak universiti sedang dan akan melaksanakan beberapa program seperti sistem pengurusan yang telah dibangunkan merangkumi tiga sistem yang menguruskan aspek pembangunan bakat dan pelan penggantian USM. 

Antaranya, Human Capital Management System (HCMS) yang merangkumi sistem induk pengurusan bakat USM iaitu Perancangan PTJ, Perancangan Bahagian, Sasaran Kerja Tahunan, Laporan Penilaian Prestasi dan Butir Jaya Diri. Manakala MyCPD pula satu sistem pengurusan latihan warga kampus dan MyTalent adalah analisis penilaian prestasi dan maklumbalas 360 darjah. Sistem ini berupaya untuk menghasilkan analisis dan profil individu, pasukan dan gaya kepimpinan.

“Secara umumnya, pelan penggantian (succession planning) ialah kaedah yang digunakan untuk mengenalpasti, menilai dan membangunkan keupayaan warga bagi memenuhi keperluan organisasi pada masa kini dan hadapan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahunannya yang bertajuk APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global kepada 1,000 orang warga kampus di sini, hari ini.

Tambah Omar lagi, universiti juga memberi perhatian kepada usaha melatih pemimpin agar berupaya membentuk satu pasukan pemimpin bagi meneruskan agenda pembangunan universiti pada masa hadapan.

Selain ketiga-tiga sistem ini, turut diperkenalkan satu pelan yang akan menetapkan model pembangunan kerjaya pensyarah. Model TeRamPil (Teaching-teacher & Educator, Researcher, Practitioner & Leader) dihasilkan bersempena hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk menghasilkan ahli-ahli akademik ke arah keempat-empat kemahiran tersebut di mana semua ahli akademik USM perlu memiliki keterampilan yang dicadangkan.

Menurut Omar lagi, TeRamPil akan dikembangkan kepada latihan, penilaian tahunan dan seterusnya menjadi sebahagian penilaian kenaikan pangkat staf akademik di USM.

“Selain staf akademik, staf pentadbiran dan sokongan merupakan entiti besar dalam universiti dan perlu menjadi tonggak yang menyokong menggerakkan usaha menjadikan USM sebagai UG,” tegasnya lagi.

Omar berharap dengan adanya pembangunan bakat ini mampu menjadikan warga USM memahami falsafah universiti dan pusat tanggungjawab di mana mereka berada dan menjadi kumpulan pelaksana yang menggerakkan seluruh aktiviti.

Warga USM juga digesa untuk menguasai Rukun Nilai USM dan memahami kesemua sembilan teras APEX dengan menjadikan diri sebagai tempat rujukan dan bersedia membantu ahli-ahli akademik melaksanakan kerja yang ditetapkan dalam pelbagai bidang.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Pendaftar, Bendahari serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1377

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024