KAKI DIABETIK: PENCEGAHAN DAN RAWATAN
KUBANG KERIAN, 14 Januari 2016 - Penyakit Kencing Manis atau Diabetes Mellitus adalah penyakit tidak berjangkit kronik yang melibatkan hampir 837 juta penduduk dunia secara amnya dan pada tahun 2014, dianggarkan 3.2 juta penduduk Malaysia mengidap penyakit ini.
Diabetes terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama berlaku kerosakan pada pankreas untuk menghasilkan hormon insulin manakala jenis kedua pula sel manusia tidak lagi memberi tindakbalas kepada hormon insulin yang dihasilkan oleh pundi pankreas.
Menurut Pensyarah Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Sabrina Abdul Ghani, kerosakan kompleks pada kaki akibat diabetes dinamakan penyakit kaki diebetes (Diebetic Foot).
"Semua pesakit diabetes berisiko untuk mendapat penyakit kaki diabetes yang mana kesannya boleh dilihat seperti kulit kering merekah, kurang atau hilang bulu pada kaki, peningkatan pigmentasi pada kulit dan jangkitan kulat pada kaki serta kuku," kata beliau ketika ditemuramah bersama radio tempatan di sini pagi tadi.
Selain itu, pesakit juga akan mendapat gangguan saraf pada kaki disebabkan salur darah ke kaki tidak berfungsi secara normal. Kaki akan terasa kebas dan kurang berpeluh dan ini memberi risiko untuk mendapat jangkitan kuman pada kaki.
Tambah Nur Sabrina, hampir 60 hingga 70 peratus pesakit diabetes akan mendapat masalah neuropati pada kaki mereka dan dari jumlah ini, 25 peratus akan mendapat masalah ulser yang kronik dan separuh daripadanya akan mendapat jangkitan kuman yang memerlukan rawatan intensif seperti kemasukan ke wad, antibiotik intravenus serta pembedahan mencuci luka.
Lebih malang lagi, 20 peratus daripada pesakit terbabit terpaksa melalui amputasi bagi mengawal jangkitan supaya tidak terus merebak.
Nur Sabrina menjelaskan data yang ada agak membimbangkan kerana separuh daripada pesakit yang telah menjalani amputasi besar, kemungkinan akan melalui amputasi kaki bersebelahan dalam tempoh kurang dari lima tahun.
Malah, kadar kematian juga meningkat bagi pesakit-pesakit yang telah melalui amputasi besar sekiranya tiada usaha untuk membaiki cara hidup dalam mengawal peningkatan tahap glukosa.
Tegas Nur Sabrina, mencegah adalah lebih baik dari merawat. Langkah pencegahan yang penting adalah mengawal gula dalam darah.
Menyentuh berkenaan kaki diabetes, yang paling penting adalah pemeriksaan kaki secara kerap. Selain itu, pesakit perlu membasuh kaki setiap hari menggunakan sabun dan span lembut, perhatikan setiap celah jari kerana di situ adalah amat berisiko mendapat jangkitan. Jika perlu gunakan pelembab untuk mengelakkan kulit menjadi terlalu kering.
Nur Sabrina turut berkongsi tip penjagaan lain kepada pesakit kaki diabetes seperti memotong kuku secara lurus, memakai stoking jenis cotton yang mudah meresap peluh atau kasut yang selesa dan tidak terlalu ketat serta waktu petang adalah waktu yang sesuai untuk membeli kasut kerana kaki kita akan mengembang pada waktu tersebut.
Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 2966