USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MEMPERKASAKAN KOLABORASI AKADEMIK, KOMUNITI DAN PENYELIDIKAN PERINGKAT GLOBAL

IMG 0276k

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 - Pada masa kini, Universiti Sains Malaysia (USM) aktif sebagai rakan strategik bersama banyak universiti ternama dunia merentasi program ijazah, penyelidikan, program berasaskan komuniti, program berasaskan industri serta latihan yang sebahagian besarnya juga merentasi kepelbagaian bidang yang membawa kepada pengiktirafan dan penghormatan besar buat USM antaranya termasuklah ijazah akademik, penyelidikan, program komuniti,  program bersama industri, program latihan, penyelidikan dan program ijazah, program ijazah akademik dan industri. 

Demikian merupakan antara amanat Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika menyampaikan Perutusan Naib Canselor 2016 di USM hari ini yang menunjukkan bahawa kejayaan USM menempatkan diri di peringkat antarabangsa dapat merealisasikannya sebagai sebuah universiti global (UG). 

Antaranya termasuk kolaborasi penyelidikan dengan King’s College London, United Kingdom dalam penyelidikan biologi dan perbezaan sel tunjang jantung, University of Oxford, United Kingdom dalam pengimejan vivo menggunakan MRI terutama kepada mengesan sel-sel tunjang terhadap haiwan kecil, Harvard University Amerika Syarikat berkaitan felo penyelidik Kedoktoran di Jabatan Pembedahan, Hospital Besar Massachusetts Universiti Harvard, Universidad San Francisco de Quito (USFQ) Ecuador dalam kajian epidemiologi dan alam sekitar ke atas demam enterik di Ecuador, University of Zimbabwe (UZ) Harare Zimbabwe berkenaan status pembawa pesakit HIV di kalangan wanita hamil, pembinaan antibodi TCR dan peningkatan kaedah pengesanan kepialu semasa bagi pengeluaran yang lebih cekap, Tomsk State University (TSU) Russia dalam bidang biosains merentasi bidang biopolimer dan bioteknologi, Toyohashi University of Technology, Jepun dalam mitigasi logam berat iaitu merkuri, kadmium, kromium, plumbum, arsenik dan lain-lain dan beberapa universiti di Republik Czech dalam penyelidikan meliputi bahan termaju termasuk bahan nano, teknologi kimia/biokimia termasuk biodiesel dan bahan binaan.

Selain itu, untuk libatsama komuniti dan industri, USM juga berkolaborasi dengan Yale University Amerika Syarikat dalam kolaborasi penyelidikan dalam bidang penyalahgunaan dadah,  RIKEN Jepun untuk Pusat Penyelidikan Sains Penuaan Antarabangsa USM-RIKEN atau lebih mudah dengan istilah URICAS (USM-RIKEN International Centre for Ageing Science), IBM Research Almaden San Jose Amerika Syarikat berkaitan staf akademik USM ditempatkan di IBM untuk menjalankan penyelidikan tentang ’Star Polymer nano materials in antimicrobial and drug delivery applications’ dan University of California Santa Barbara (UCSB) Amerika Syarikat dalam Teknologi Kluster Penyelidikan LED (LEDTREC) dan OLED

Kolaborasi akademik pula melibatkan kerjasama dengan Newcastle University (NU) United Kingdom dalam Joint PhD supervision dan pelantikan felo penyelidikan dari NU yang turut menghasilkan penerbitan bersama, Lorraine University Perancis yang berkolaborasi penyelidikan dalam Sains Material dan Program Ijazah berkembar, Nagaoka University of Technology (NUT) Jepun dalam Ijazah akademik dan program industri asas, The Earth Institute Columbia University Amerika Syarikat dalam Program Sarjana “The Master’s in Sustainable Development Practice” (MSDP) antara disiplin global yang menyediakan siswazah kepada keupayaan untuk mengenal pasti dan menghadapi pelbagai cabaran dalam pembangunan lestari dan Ostbayerische Technische Hochschule Regensburg (OTH Regensburg) Jerman yang berkolaborasi bersama USM menawarkan program International Dual Degree Programme.

Sementara itu, bagi program latihan pula, Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjalankan kolaborasi antarabangsa di negara-negara Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki dan yang terbaharu di Eropah. 

Antara rakan strategik PIPPA ialah Educational Competencies Consortium Ltd. (ECC) United Kingdom, Saudi Aramco Arab Saudi, Central Official of Training Institute (COTI) Korea Selatan, City of Mandurah Australia, Qatar University Qatar, Murdoch University Australia,  Indiana University Amerika Syarikat,  University of Palermo Italy, The University of Hong Kong, Workplace DNA Australia, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan melalui rakan-rakan strategik ini, PIPPA telah mengorak langkah mengadakan lebih 21 kursus yang disertai oleh hampir 500 peserta dari seluruh dunia termasuk dari negara ini.

Turut mendapat perhatian adalah Program Integrasi Psikologi di antara USM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga Ijazah Sarjana Neurosains Kognitif yang bertepatan dengan misi, visi dan matlamat USM dalam melahirkan saintis dalam bidang neurosains kognitif sama ada dalam bidang penyelidikan atau industri kerana program ini bermatlamat melahirkan saintis/penyelidik neuro. 

 Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto : Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1331

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024