USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMERGIAN PROFESOR DR. SARINGAT KEHILANGAN BESAR KEPADA USM

PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Pemergian Profesor Dr. Saringat Bai @ Baie yang berkhidmat sejak 23 Mei 1975 di Pusat Pengajian Sains Farmasi dan bersara wajib pada 28 Januari 2008 adalah satu kehilangan besar kepada Unversiti Sains Malaysia (USM). Allahyarham masih lagi merupakan pensyarah kontrak di sini selepas persaraan wajibnya.

Menurut Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Saringat sentiasa diingati sebagai seorang yang sentiasa mengimarahkan Mesjid Al-Malik Khalid dan ahli akademik yang disegani dengan keupayaannya mengaplikasi ilmu untuk faedah masyarakat.

“Allahyarham banyak memberi nasihat dan pandangan secara peribadi kepada saya dalam hal-hal yang berkaitan pentadbiran Universiti secara tidak rasmi dan akan sentiasa diingati dengan sikap istiqamahnya dalam beribadat yang sangat kita segani,” kata Omar selepas majlis tahlil yang diadakan di Mesjid Al-Malik Khalid di sini.

Lebih 100 orang warga USM termasuk Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi Profesor Dr. Munavvar Zubaid, Pengarah Pusat Islam Profesor Dr. Muhammad Idiris Saleh serta empat orang anak laki-laki allahyarham hadir dalam bacaan tahlil yang diketuai Al-Ustaz Dato’ Profesor Madya Hj. Ellias Hj. Zakaria itu.

Saringat pakar dalam bidang Teknologi Serbuk dan formulasi drug dan ubat-ubatan terkenal dengan formulasi menggunakan ikan haruan untuk tujuan rawatan yang dikomersilkan.

Anak lelaki allahyarham, Mohd. Syukri Saringat, 37, sangat merasai kehilangan ayahandanya kerana sifatnya yang sangat penyayang dan sentiasa mendidik anak-anak untuk positif dalam menjalani kehidupan seharian.

“Ayah selalu mendidik kami dengan penuh kasih sayang serta lemah lembut dan membentuk kami seperti mana sekarang ini untuk menjadi terbaik dalam apa jua yang dilakukannya,” kata anak lelaki sulung allahyarham yang bekerja dalam bidang Komunikasi dan Perhubungan Awam.

Mohd. Syukri yang begitu tenang dengan pemergian ayahnya memberitahu, tidak ada seorang pun anak-anak allahyarham yang menurut jejak langkahnya dalam bidang Farmasi, hanya adiknya yang bongsu dalam bidang Bio-Teknologi yang boleh dikatakan menghampiri kepakaran Saringat.

“Ayah hanya berpesan supaya semua kami adik beradik yang tinggal di Kuala Lumpur tidak perlu balik kerana baharu Ahad lalu berjumpanya dan semasa ayah menghembus nafas terakhir, kami masih dalam perjalanan,” kata Mohd. Syukri.

Mesjid Al-Malik Khalid dipenuhi oleh para Jemaah yang bersama-sama solat jenazah sekitar jam 11.30 pagi sebelum dibawa disemadikan di Tanah Perkuburan Sg. Nibong Pulau Pinang.  Jenazah sebelum itu dibawa ke Mesjid Al-Malik Khalid USM seawal jam 8.20 pagi diuruskan sepenuhnya di sini.

Allahyarham yang akan menyambut ulangtahun kelahiran ke-64 pada 28 Januari ini meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang jam 7.20 malam tadi di sisi isterinya Ramlah Ariffin.

Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 2447

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024