PERANCANGAN STRATEGIK USM APEX 2020 LANDASAN UG
PULAU PINANG, 14 JANUARI 2016 – Pelan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM) yang dirangka dalam USM APEX 2020 disifatkan sebagai satu inisiatif realistik yang boleh dijadikan landasan untuk mencapai matlamat menjadi universiti terbilang di pentas global.
APEX adalah singkatan kepada Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan dan status berkenaan diberikan hanya kepada USM oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sejak 2008.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM perlu melakukan proses transformasi menyeluruh agar dapat kekal relevan, terkemuka dan terbilang dalam negara, serantau mahupun dunia.
Katanya, perancangan strategik USM APEX 2020 jangka pertengahan dalam tempoh lima tahun (2015-2020) berfokus kepada empat tonggak utama iaitu bakat, akademik, penyelidikan dan pembangunan institusi.
“USM APEX 2020 menyediakan garis terperinci dan pelan komprehensif dalam empat perkara merangkumi objektif strategic (SO), 11 Key Focus Area (KFA), 35 matlamat strategik (SG) dan 281 inisiatif yang akan dilaksanakan.
“Tiga SO yang dikenalpasti adalah membangunkan bakat, memperkasa ekosistem penyelidikan USM dan memperkasa institusi. Beberapa KFA pula dikenalpasti untuk setiap SO misalnya untuk pembangunan bakat ialah melalui pelajar holistik serta akademik dan staf yang berprestasi tinggi,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi SO penyelidikan pula KFAnya adalah Global Research Prominence dan National Development manakala pembangunan institusi pula KFAnya adalah rukun nilai, kewangan, kelestarian dan tadbir urus.
Omar juga berkata, perancangan strategik berkenaan berupaya membawa USM mencapai matlamat menjadi terkemuka di dunia, relevan di dalam negara dan institusi pengajian tinggi yang berfokus kepada nilai menjelang 2020.
“Cabaran kepada perancangan APEX 2020 adalah dalam bagaimana perancangan ini dilaksanakan dan mampu dipikul bersama oleh semua warga Universiti. Keutuhan warga USM dalam mencapai hasrat ini adalah amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Perutusan menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor 2016 yang bertemakan ‘APEX 2020; Merealisasikan Universiti Global’ di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Gabenor, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Timbalan-timbalan Naib Canselor, pegawai-pegawai utama Universiti dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1984